Prospek industri sarung tangan kekal mencabar meskipun tempoh terburuk telah berakhir - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek industri sarung tangan kekal mencabar meskipun tempoh terburuk telah berakhir - MIDF Research

Gambar Kossan Rubber
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Tempoh terburuk bagi pengeluar sarung tangan getah termasuk Kossan Rubber Industries Berhad (Kossan) telah berlalu namun prospek masa depan tetap mencabar, kata MIDF Research.

 

Menurut firma penyelidikan itu, ini disebabkan ketidakseimbangan penawaran dan permintaan serta persaingan harga yang sengit daripada industri sarung tangan getah di peringat antarabangsa.

 

"Memandangkan keadaan semasa, kami melihat risiko minimum untuk kumpulan Kossan mengalami kerugian. 

 

"Walau bagaimanapun, kami tidak menjangkakan pertumbuhan yang membanggakan dalam pendapatan pada masa ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut MIDF Research, kadar pemulihan Kossan dijangka tetap perlahan dan saranan 'Neutral' dikekalkan terhadap Kossan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kossan keluar daripada kerugian, raih RM31.34 juta pada 2QFY24 didorong jualan tinggi

 

Walau bagaimanapun, katanya, harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM1.89 sesaham berbanding sebelum ini RM2.45 selepas pengumuman keputusan suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) kumpulan.

 

"Secara keseluruhan, prestasi kewangan Kossan untuk separuh pertama tahun kewangan 024 (1HFY24) berada di bawah jangkaan kami, mencatatkan hanya 36.1% daripada anggaran pendapatan penuh tahun FY24 kami. 

 

"Variasi ini terutamanya disebabkan oleh pemulihan permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan," jelasnya.

 

Mengambil petunjuk daripada keputusan kewangan 2QFY24 kumpulan, MIDF Research meramalkan kadar pemulihan permintaan yang lebih perlahan yang seterusnya mempengaruhi margin keuntungan. 

 

Kata firma itu, ini menyebabkan pengurangan dalam anggaran pendapatan sebanyak -24.1% hingga -46.9% untuk FY24 hingga FY26.

 

"Walaupun ketidakseimbangan penawaran dan permintaan akan berterusan, keadaan keseluruhan telah menjadi lebih baik. Ini disebabkan oleh corak permintaan yang semakin stabil selepas tempoh pandemik. 

 

"Selain itu, penggabungan industri, penyelarasan kapasiti, serta pengunduran pemain baru telah membantu mengatasi situasi lebihan bekalan. 

 

"Oleh itu, kami tidak menjangkakan kumpulan akan mengalami kerugian dalam jangka masa terdekat," ujarnya. - DagangNews.com