Prospek IGB REIT kekal positif, MIDF Research ulangi saranan 'beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek IGB REIT kekal positif, MIDF Research ulangi saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 April - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap IGB Real Estate Investment Trust (REIT) dengan harga sasaran pada RM1.72 sesaham berikutan prospeknya kekal positif. 

 

Firma itu menjangkakan IGB REIT yang memiliki Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall itu akan merekodkan hasil yang positif bagi tahun kewangan berakhir 2022 (FY22) dan FY23. 

 

"Kami menjangkakan pendapatan akan kekal kukuh pada suku kedua terutamanya didorong musim perayaan sempena Hari Raya Aidilfitri. 

 

"Pada masa sama, hasil penyewaan daripada Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall juga akan kembali pulih seiring dengan pembukaan semula ekonomi dan sempadan negara," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, pendapatan hartanah bersih IGB REIT bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 melonjak 72.7% kepada RM107.71 juta daripada RM62.38 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan pada suku berkenaan juga melonjak hampir 35% kepada RM133.81 juta daripada RM99.44 juta bagi tempoh sama 2021, hasil daripada sokongan sewaan yang lebih rendah diberikan kepada penyewa pada suku semasa berikutan pembukaan semula ekonomi dan peningkatan jualan runcit penyewa.

 

MIDF Research berkata, pendapatan bersih teras pada suku pertama sebanyak RM85.4 juta adalah memenuhi jangkaannya merangkumi 28.7% dan 30% anggaran konsensus bagi tahun penuh.

 

Menurutnya, kedua-dua pusat beli-belah Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall merekodkan kadar penghunian yang tinggi hampir mencecah 100%.

 

"Sementara itu, kami menganggarkan hasil dividen bagi FY22 pada 5%," tambahnya.

 

Setakat 9.08 pagi ini, harga saham IGB REIT menokok 4 sen atau 2.56% kepada RM1.60 dengan 186,100 saham diniagakan. - DagangNews.com