Prospek jualan EcoWorld Malaysia stabil, dalam kedudukan capai sasaran RM3.5 bilion - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek jualan EcoWorld Malaysia stabil, dalam kedudukan capai sasaran RM3.5 bilion - MIDF Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Jun - MIDF Research mengunjurkan EcoWorld Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) mempunyai potensi pendapatan yang positif dan prospek jualan yang stabil pada 2024.

 

Walaupun begitu, firma penyelidikan itu berpendapat bahawa kelebihan tersebut telah sebahagian besarnya tercermin dalam harga saham semasa pemaju perumahan itu.

 

"Penilaian Eco World adalah adil pada tahap ini, dengan perdagangan yang hampir pada Nilai Tanggungan Terkini (NTA) terkini sebanyak RM1.65 sesaham. 

 

"Oleh itu, kami mengekalkan saranan Neutral kami terhadap EcoWorld," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

MIDF Research juga mengekalkan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.63 sesaham. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih 2QFY24 EcoWorld Malaysia naik 11.7%, projek di Iskandar Malaysia penyumbang utama

 

"Kami juga tidak membuat perubahan pada ramalan pendapatan kami untuk tahun kewangan (FY) FY24F/25F/26F," ujarnya.

 

Sementara itu, EcoWorld merekodkan jualan baharu RM2.18 bilion dalam tujuh bulan 2024 (7MFY24) sekali gus berada pada landasan yang betul untuk memenuhi sasaran jualan baharu pengurusan sebanyak RM3.5 bilion untuk FY24.

 

Kata firma penelidikan itu, projek di Iskandar Malaysia merupakan penyumbang jualan utama dalam 7MFY24, menyumbang kepada 61% jumlah jualan baharu. 

 

"Sementara itu, projek perbandaran kekal sebagai penyumbang jualan tertinggi pada 39%, diikuti oleh projek bertingkat tinggi pada 31%. 

 

"Eco Business Parks pula menyumbang 19% daripada jumlah jualan baharu kerana Eco World mengembangkan segmen pembangunan hartanah perindustriannya," jelasnya.

 

Kata MIDF Reserch, hasil masa hadapan berjumlah RM4 bilion, membuktikan keterlihatan pendapatan selama lebih daripada 1.5 tahun.

 

"Keuntungan yang lebih tinggi terutamanya disebabkan oleh sumbangan daripada projek-projek yang sedang berjalan dan fasa-fasa yang baru dilancarkan serta margin yang lebih baik. 

 

"Ini telah lebih daripada cukup untuk menangani peningkatan perbelanjaan yang tinggi dan sumbangan yang lebih rendah dari usaha sama (JV) kerana beberapa projek berada di penghujung," ujarnya. - DagangNews.com