Untung bersih 2QFY24 EcoWorld Malaysia naik 11.7%, projek di Iskandar Malaysia penyumbang utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih 2QFY24 EcoWorld Malaysia naik 11.7%, projek di Iskandar Malaysia penyumbang utama

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Jun - Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) meraih untung bersih sebanyak RM70.04 juta  pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), meningkat 11.7% berbanding setahun sebelumnya.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju perumahan itu berkata, pada suku kewangan berakhir 30 April 2024 itu, pendapatan Kumpulan pula berjumlah RM555.76 juta.

 

Jumlah itu merupakan kenaikan sebanyak 32.1% berbanding 2QFY23 yang mencatatkan pendapatan sebanyak RM420.82 juta.

 

Menurut EcoWorld Malaysia, projek utama yang menyumbang kepada pendapatan dan keuntungan 2QFY24 termasuk Eco Botanic, Eco Botanic 2, Eco Spring, Eco Tropics, Eco Business Park I, Eco Business Park II, dan Eco Business Park III di Iskandar Malaysia, serta Eco Majestic, Eco Forest, dan Eco Sanctuary di Lembah Klang.

 

"Pendapatan dan keuntungan sebelum cukai pada suku kedua 2024 masing-masing meningkat sebanyak 32.1% dan 37.1% berbanding suku kedua 2023. 

 

"Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada fasa-fasa aktif serta fasa-fasa yang baharu dilancarkan. 

 

"Margin keuntungan kasar juga meningkat dari 25.6% pada suku kedua 2023 kepada 26.5% pada suku kedua 2024, terutamanya disebabkan oleh pengurangan kos dari beberapa fasa yang telah siap dan hampir siap," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: EcoWorld Malaysia jual tanah industri di Kulai kepada Microsoft Payments pada harga RM402.3 juta

 

Menurut kumpulan tersebut, pendapatan masa depan mereka telah meningkat kepada RM4.03 bilion sehingga 31 Mei 2024.

 

Sementara itu, dalam kenyataan medianya, EcoWorld Malaysia berkata, Kumpulan ini berada dalam kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada gelombang permintaan dalam pasaran industri, terutamanya di kawasan Selatan. 

 

Katanya, jualan berjumlah RM420 juta telah direkodkan menerusi Eco Business Parks (EBP) hingga 31 Mei 2024 dan permintaan terus menunjukkan peningkatan momentum.

 

"Pada 7 Jun 2024, kami telah memasuki perjanjian untuk menjual 123.14 ekar tanah industri yang terletak di dalam Eco Business Park VI (EBP VI) kepada Microsoft Payments (Malaysia) Sdn. Bhd. ("Microsoft") dengan nilai RM402.3 juta. 

 

"Ini merupakan penjualan pertama untuk EBP VI di Kulai, Iskandar Malaysia dan kami yakin bahawa pembangunan yang dirancang untuk pusat data oleh Microsoft di sana akan meningkatkan permintaan terhadap produk industri lain kami," ujarnya. - DagangNews.com