PropertyGuru catat untung bersih RM3.76 juta bagi suku keempat didorong pertumbuhan pasaran Singapura | DagangNews Skip to main content

PropertyGuru catat untung bersih RM3.76 juta bagi suku keempat didorong pertumbuhan pasaran Singapura

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 1 Mac - Firma teknologi hartanah, PropertyGuru mencatatkan keuntungan bersih dolar Singapura S$1 juta (RM3.76 juta) bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2023 daripada kerugian bersih S$5 juta (RM 17.6 juta) setahun sebelumnya.

 

Pendapatan juga bertumbuh untuk suku kedua berturut-turut buat firma teknologi hartanah itu dengan hasil bagi Q4FY23 meningkat 3.5 peratus kepada S$42 juta (RM148 juta) daripada S$40.1 juta (RM141.2 juta) pada Q42022.

 

Pencapaian ini didorong pertumbuhan dalam pasaran Singapura berbanding Malaysia dan Vietnam yang kurang memberangsangkan. 

 

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) PropertyGuru melonjak kepada S$8.9 juta (RM31.34 juta) daripada S$503,000 (RM1.77 juta) dalam tempoh yang sama tahun lalu berdasarkan laporan kewangan yang dikeluarkan pada 1 Mac.

 

Hasil pasaran meningkat 4.1 peratus tahun ke tahun kepada S$39.9 juta (RM140.5 juta), kerana prestasi kukuh dalam pasaran Singapura membantu mengimbangi keadaan pasaran yang mencabar di Vietnam, kata firma itu yang tersenarai di Bursa Saham New York.

 

Bagi tahun penuh, kerugian bersih mengecil 88.2 peratus kepada S$15.3 juta (RM53.9 juta) daripada S$129.2 juta (RM454.9 juta), manakala hasil meningkat 10.5 peratus kepada S$150.1 (RM528.5 juta) juta daripada S$135.9 juta (RM478.55 juta).

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan PropertyGuru, Hari Krishnan berkata, keputusan ini dicapai dalam keadaan pasaran yang kurang memberangsangkan di Vietnam dan Malaysia.

 

"Kami dapat mencapai keputusan ini dengan memfokuskan pada pengoptimuman kos, mengguna pakai automasi proses dalaman, meningkatkan kualiti dan produktiviti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Pada 27 Februari, kumpulan itu mengumumkan akan memberhentikan 79 pekerja, atau 5 peratus daripada tenaga kerjanya, sebagai sebahagian daripada semakan strategik untuk "bukti masa depan" perniagaan dalam pasaran yang tidak menentu. 

 

PropertyGuru juga menutup dua daripada sembilan cawangan di Vietnam yang berkaitan dengan perniagaan pasarannya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan PropertyGuru, Joe Dische menekankan bahawa semua pasaran - iaitu Singapura, Malaysia dan Vietnam - mencatatkan EBITDA positif.

 

“Melihat ke 2024, kami akan terus menumpukan pada mengembangkan operasi dalaman sambil kami melihat untuk meningkatkan keuntungan.

 

"Kami memperkenalkan tinjauan pendapatan tahun penuh 2024 sebanyak S$165 juta hingga S$180 juta," tambahnya - DagangNews.com