KUALA LUMPUR 11 Sept - Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek rintis Perumahan Inklusif MADANI akan dibangunkan untuk golongan sasar di bandar utama seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Perdana Menteri berkata, pembinaan ini melibatkan 800 unit rumah dengan pelbagai saiz ruang lantai bagi menampung keperluan golongan sasar yang berbeza.
"Selain itu, tumpuan juga akan diberikan untuk meneroka potensi perkampungan persaraan yang inklusif bagi persediaan menghadapi impak negara menua," katanya ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Parlimen hari ini.
Anwar berkata, kerajaan sentiasa cakna dan menjadikannya sebagai agenda utama yang tidak boleh dikompromi.
"Kita sedar bahawa harga rumah dan kadar sewa yang semakin meningkat telah membebankan rakyat.
"Saya yakin dengan penglibatan semua sektor awam dan swasta, sasaran kita untuk membina 500,000 unit Rumah Mampu Milik dalam RMK12 akan tercapai. Sehingga akhir tahun 2022, sebanyak 108,373 unit Rumah Mampu Milik telah dibina," katanya.
Beliau berkata, bagi memudahkan rakyat untuk mempunyai tempat tinggal yang selamat dan selesa, anjakan utama Perumahan Rakyat akan terus ditambah baik melalui peralihan daripada konsep pemilikan kepada konsep tempat tinggal.

Sehubungan itu katanya, Skim Sewa untuk Beli akan diperluas bagi membolehkan lebih ramai kumpulan sasar dapat memiliki rumah.
"Selain itu, inisiatif penyediaan tempat tinggal secara sewaan kepada golongan yang kurang berkemampuan di kawasan bandar utama yang telah dilaksanakan di beberapa tempat seperti di Johor dan Selangor akan dipertingkatkan lagi," katanya. - DagangNews.com








