Project Tree Masterclass sasar tawar dana RM200 juta kepada PKS berkelayakan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Project Tree Masterclass sasar tawar dana RM200 juta kepada PKS berkelayakan

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Sebuah program dikenali sebagai "Project Tree Masterclass" menyasarkan penyertaan pemilik perniagaan yang memerlukan dana untuk mengembangkan perniagaan mereka.

 

Pengarah Eksekutif Laughing Tree Sdn Bhd, Shamsul Qamar Abd Rani berkata, program yang akan yang akan berlangsung pada 12 dan 13 September 2022 itu bakal menawarkan dana RM200 juta kepada peserta.

 

Beliau berkata, ia merupakan kesinambungan dalam usaha membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan akibat pandemik COVID-19 yang berdepan kesulitan untuk mengembangkan perniagaan ketika ketidaktentuan ekonomi serta politik, yang mana pihaknya menganjurkan sesi 'masterclass' secara dalam talian. 

 

"Setakat ini kami mendapat maklum balas yang cukup baik dari rakan-rakan strategik dan PKS Bumiputera. Kami berharap program ini akan mengubah ekosistem dana dalam kalangan PKS menjadi lebih kondusif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Shamsul Qamar, usahawan Bumiputera boleh memanfaatkan dana menerusi pelbagai saluran dana ekuiti atau pinjaman yang sah di sisi undang-undang, bertujuan untuk melonjakkan potensi perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi.

 

Bagaimanapun, kebanyakan PKS Bumiputera masih kurang pendedahan terhadap kaedah baharu meraih dana seperti pendanaan awam ekuiti, pembiayaan rakan sebaya (P2P), dan terkini tawaran tukaran permulaan (IEO) yang diselia di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), katanya.

 

"Rata-rata PKS bumiputera masih bergantung kepada pinjaman dari institusi kewangan atau geran kerajaan bagi mengembangkan perniagaan mereka. 

 

 

pks
Shamsul Qamar Abd Rani

 

 

"Sebenarnya banyak PKS Bumiputera yang sangat berpotensi untuk berkembang malah ke peringkat global, tetapi oleh kerana tidak cukup dana mereka tidak mahu berkembang. 

 

"Sedangkan terdapat dana yang besar untuk membiayai pertumbuhan PKS tersebut menerusi pelbagai kaedah, tetapi malangnya tidak banyak PKS tempatan mempunyai akses kepada dana-dana sedemikian," katanya.

 

 

pks

 

 

pks

 

 

Selain pendedahan katanya, syarikat PKS juga tidak  bersedia untuk meningkatkan kapasiti dan bersaing bagi memperoleh dana-dana bukan konvensional yang disediakan. 

 

Personaliti TV terkenal, Suhaimi Sulaiman; Pengasas pitchIN, Sam Shafie; Pengarah Urusan Ficus Capital, Rina Neoh; Ketua Pegawai Eksekutif MicroLeap, Tunku Danny Mudzaffar dan Pengasas Broku, Ku Addy Fazly antara speaker Masterclass yang akan  menerangkan tentang proses dunia perniagaan, kewangan, pemasaran dan pelaburan dalam sesi selama dua hari itu. 

 

Penyertaan untuk Project Tree Masterclass masih dibuka di www.treemasterclass.my. - DagangNews.com