Program pesawat tempur ringan TUDM berdepan skandal ekoran laporan polis ke atas salah guna kuasa dalam tender | DagangNews Skip to main content

Program pesawat tempur ringan TUDM berdepan skandal ekoran laporan polis ke atas salah guna kuasa dalam tender

HAL berusaha keras untuk memastikan pesawat Tejas menjadi pilihan.
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 4 Nov - Program perolehanan pesawat tempur ringan/latihan lanjutan (LCA/FLIT) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dibimbangi berhadapan isu skandal susulan dakwaan berlaku proses tender itu tidak dipatuhi.

 

Walaupun tiada maklumat jelas tentang aduan tersebut, tetapi DagangNews.com difahamkan ia melibatkan beberapa kriteria yang ditetapkan kepada pesaing.

 

Dikatakan ada beberapa pembida tender tidak mematuhi kriteria tersebut termasuk meletakkan spesifikasi pesawat mereka sebagai teruji di medan tempur sedangkan hakikatnya, tidak berlaku.

 

Ekoran itu, sebuah daripada syarikat yang membida tender bagi program ini telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh kelmarin, menuntut siasatan terperinci dilakukan.

 

Memetik laporan media, wakil tempatan syarikat berkenaan mengesahkan syarikatnya membida dua tender terbuka antarabangsa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Bagaimana pun, wakil syarikat itu mendakwa terdapat salah guna kuasa dalam bidaan tender lalu menuntut pihak berkuasa melakukan siasatan.

 

 

Leonardo
Syarikat Leonardo menawarkan pesawat M-346FA untuk memenuhi keperluan FLIT/LCA TUDM

 

 

Perkara ini dikatakan serius dan dibimbangi sekiranya berlanjutan boleh melewatkan proses seterusnya iaitu pemilihan pesawat dan menetapkan kontrak-kontrak lain.

 

Khamis lalu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam laporan media memaklumkan bahawa penilaian fizikal dan rundingan harga bagi perolehan LCA sudah diselesaikan.

 

Katanya, Kementerian Pertahanan telah menerima laporan itu dan proses seterusnya ialah untuk diserahkan kepada Kementerian Kewangan.

 

"Rundingan harga dengan petender yang disyorkan sendiri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah selesai, tunggu apa diputuskan oleh Kementerian Kewangan," katanya.

 

 

korea
KA-50 buatan Korea Selatan yang mengintai peluang di Malaysia.

 

 

Program LCA/LIFT dijangka menelan kos RM4 bilion bagi perolehan 18 buah pesawat pertama bagi menggantikan pesawat pejuang Hawk 100/200 dan Aermacchi MB-339.

 

Antara ciri-ciri yang perlu ada pada pesawat ini nanti ialah kemampuan pengisian minyak di udara, melancarkan tembakan misil secara  Beyond Visual Range, kelajuan supersonik dan kerjasama tempatan.

 

Penghantaran pesawat pula hendaklah disempurnakan dalam tempoh 36 bulan setelah kontrak dimeterai.

 

Tiga jenis pesawat yang memasuki tender perolehan FLIT/LCA ialah FA-50 buatan Korea Aerospace Industries (KAI), Tejas oleh Hindustan Aeronautics Limited (HAL) dan M-346FA Leonardo buatan Itali. - DagangNews.com