KUALA LUMPUR 12 Julai - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) mengumumkan persinggahan kedua siri jelajah persidangan mikro MYStartup NXT yang berlangsung pada 11 dan 12 Julai 2023 di Sarawak.
Persidangan yang bakal membawa pembaharuan ini menghimpunkan bakal usahawan, pemula sedia ada serta pakar industri untuk keterangkuman, impak dan kemampanan mereka dalam ekosistem pemula Malaysia yang cemerlang.
Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pihaknya percaya inisiatif MYStartup akan terus memacu inovasi, mencipta peluang pekerjaan, dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi serantau yang menyeluruh.
"Kami di MOSTI akan terus komited mendukung inisiatif melalui MYStartup yang membantu perkembangan keusahawanan dan kemajuan teknologi sambil kita bekerjasama untuk membangunkan sebuah ekosistem startup yang bersemangat dan mampan di Sarawak dan di Malaysia amnya," katanya dalam kenyataan media di sini.
Mengulas mengenai persidangan itu,Naib Presiden Kanan Pembangunan Ekosistem Cradle, Ahmad Kashfi Alwi berkata, Sarawak sebuah negeri yang unik, yang memberikan cabaran yang berbeza kepada usahawan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.
Katanya, bersama rakan kongsi dan pemegang taruh, pihaknya merangka persidangan ini secara khusus dengan mengambil kira landskap keusahawan di Sarawak, selain dapat menzahirkan sebuah ekosistem yang lebih inklusif dan mampan untuk Malaysia.
“Kami teruja dengan sambutan dan penglibatan yang menggalakkan terhadap MYStartup NXT di Sarawak. Ia membuktikan potensi sebenar Sarawak sebagai landasan pelancaran yang belum diketahui umum di Asia Tenggara.

"Kami berazam mahu mengangkat Malaysia menjadi hab serantau untuk inovasi dan keusahawanan melalui siri persidangan mikro ini yang dianjurkan di serata Malaysia, yang menangani tiga teras utama penciptaan sebuah ekosistem yang kukuh, iaitu pengasas, pelabur dan pembangun," katanya.
MYStartup NXT Sarawak adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mewujudkan lebih 5,000 pemula berkualiti menjelang 2025.
Inisiatif ini akan menyediakan sokongan yang mereka perlukan untuk berkembang maju dalam ekosistem pemula yang dinamik.
Siri persidangan mikro dua hari ini, yang dianjurkan dengan kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), akan menjadi platform yang menawarkan peluang kepada usahawan yang bercita-cita tinggi dan sedia ada untuk belajar.
Ia juga bagi meluaskan jaringan, dan mendedahkan diri mereka kepada pihak korporat, peneraju teknologi, pelabur, serta pemegang taruh lain yang berkaitan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan. - DagangNews.com








