KUALA LUMPUR 14 Dis - Program Mobiliti Persatuan Mahasiswa Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (MEHSSA)-Universiti Putra Malaysia (UPM) 2022 di Indonesia menjana impak tinggi dalam memperkasa jalinan kerjasama bersama rakan strategik dari negara serantau.
Pengarah program, Ong Xin Yi dalam satu kenyataan berkata, program ini membawa matlamat untuk mendatangkan manfaat kepada mahasiswa UPM yang berpeluang menyemai bakti melalui khidmat komuniti di luar negara.
Katanya, ia juga menambah pengetahuan dalam pembelajaran sepanjang hayat dan membina jalinan bersama individu daripada Indonesia.
Terdahulu, UPM mengambil inisiatif mengadakan program mobiliti 'outbound' ke Surabaya, Madiun dan Yogyakarta, Indonesia melalui program Mobiliti MEHSSA-UPM Indonesia 2022 dari 26 November sehingga 2 Disember 2022.
Program itu merangkumi beberapa aktiviti, termasuk lawatan ke Makmal Institut Penyakit Tropikal Universitas Airlangga (UNAIR), lawatan dan kuliah bersama Dinas Kesehatan Provinsi Jawa Timur bagi pencegahan dan pengendalian penyakit serta kesihatan masyarakat.
Para mahasiswa UPM dan UNAIR turut melibatkan diri dalam forum mahasiswa yang merangkumi sesi pertukaran pendapat dalam penganjuran program dan organisasi persatuan.
Selain itu, lawatan sambil belajar ke Perusahaan Air Mineral ASMI, Kampung Susu Lawu Singolangu, Batik Tulis “Murni” dan pemprosesan roti tempatan, Bluder Cokro juga telah diadakan.
Dalam pada itu, aktiviti kesukarelawanan bersama kanak-kanak istimewa yang bertemakan pendidikan dan rangsangan kemahiran sensori motor telah dijalankan di Sekolah Karangrejo Wungu.
Sumbangan kutipan dana kecemasan mangsa gempa bumi di Jawa Barat, Indonesia daripada warga Malaysia khasnya Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM berjumlah RM374 telah disumbangkan kepada pihak Palang Merah Indonesia.
Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar Kota Madiun, Ibu Inda Raya Ayu Miko Saputri SE. MIB. turut hadir bersama mengikuti lawatan bagi perusahaan mikro kecil dan menengah.
“Saya berharap mahasiswa sekalian memperoleh pengalaman yang bermanfaat dan tidak jemu untuk terus menyokong perusahaan mikro kecil dan menengah yang makin berkembang di Madiun," katanya.
Penasihat program, Dr Shaharuddin Mohd Sham pula berkata, beliau memandang tinggi komitmen semua pihak terlibat dalam menjayakan program yang sangat signifikan dengan keperluan mahasiswa FPSK bersama kerjasama rakan strategik antarabangsanya. - DagangNews.com







