Program INNO4C Sabah 2019 dengan kerjasama USM bantu tingkat pendapatan komuniti | DagangNews Skip to main content

Program INNO4C Sabah 2019 dengan kerjasama USM bantu tingkat pendapatan komuniti

KUALA LUMPUR 26 Mac - Pelaksanaan Program INNO4C (DPUB) Sabah 2019 dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) melalui USAINS Infotech Sdn. Bhd. (USAINS) akan membantu meningkatkan pendapatan komuniti pada masa akan datang.

 

Ketua Program, Syed Yusof Syed Kechik berkata, program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dan Third Rolling Plan (RP3) yang bertujuan untuk mengukuhkan pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat. 

 

Program kendalian Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) itu menyaksikan seramai 95 peserta daripada golongan B40 dipilih sebagai penemerima manfaat menerusi  empat projek di enam lokasi.

 

“Antaranya adalah Pepper Scale-Up Project di Kampung Lompios, Kota Belud dan Kampung Puhus, Tamparuli; Belacan Scale-Up Project di Kampung Laut, Papar; Tiram Scale-Up Project di Kampung Lentuong, Tuaran dan Kampung Penimbawan, Tuaran dan Ambatu; Kelarai Scale-Up Project di Kampung Tinura, Ulu Tomani, Kemabong, Tenom yang melibatkan Kumpulan Yayasan Sabah sebagai rakan kolaborasi strategik,” katanya.

 

Penglibatan USM di dalam projek tersebut adalah bagi berkongsi ilmu pengetahuan selain turut mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap projek di bawah program itu.

 

Antara KPI yang perlu dicapai adalah meningkatkan pendapatan peserta sebanyak 25% yang secara tidak langsung akan meningkatkan taraf ekonomi masyarakat selain meyasarkan penerapan sekurang-kurangnya satu elemen inovasi dalam setiap projek.

 

usm

 

Sekretariat program, Muhammad Amirul Haizad Mohd. Zaini berkata,antara inovasi yang dibangunkan atau diberikan kepada komuniti yang terlibat termasuklah Rumah Pemprosesan, Mesin Threshing, Mesin Enzymatic, Mesin Hand Crank Bamboo dan pelbagai inovasi teknologi proses hasil daripada keberhasilan penyelidikan akademia USM.

 

“Inovasi proses yang diperkenalkan telah berjaya meningkatkan produktiviti, penjimatan kos dan kecekapan proses kerja. 

 

usm

 

“Selain pemindahan teknologi dan penciptaan inovasi, peserta juga turut diperkasakan dengan pelbagai bengkel seperti pengendalian mesin, bengkel pengurusan kewangan, prosedur rumah pemprosesan dan banyak lagi.

 

“Sebagai nilai tambah, peserta juga turut dibantu dalam proses pendaftaran syarikat dan pembukaan akaun bank bagi memudahkan proses permohonan pensijilan Halal dan MeSTI," katanya. - DagangNews.com