Prestasi Sunway Construction Group dijangka lemah pada 2HFY22 berbanding 1HFY22 - HLIB | DagangNews Skip to main content

Prestasi Sunway Construction Group dijangka lemah pada 2HFY22 berbanding 1HFY22 - HLIB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - Prestasi Sunway Construction Group Berhad bagi 2HFY22 dijangka lemah berbanding 1HFY22 selepas beberapa projek akan siap dan kumpulan itu sedang berusaha untuk mendapatkan lebih banyak projek baharu.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, keadaan menjadi lebih sukar dengan kekurangan tenaga pekerja selain impak inflasi dan pada masa sama menjangkakan berlakunya penurunan margin keuntungan.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu dijangka menerima sekitar 250 tenaga pekerja menjelang penghujung Oktober 2022 menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 500 dan jumlah itu adalah lebih rendah berbanding 800 sebelum berlakunya pandemik COVID-19.

 

Kumpulan itu dijangka memerlukan lebih ramai tenaga pekerja bagi memenuhi kontrak yang diraih untuk tahun hadapan dan jumlah pekerja asing itu akan meningkat secara perlahan-lahan.

 

"Kadar untuk pekerja am telah melonjak sebanyak 30-50% tahun ini manakala pekerja mahir meningkat lebih tinggi.

 

"Walaupun kos langsung tambahan segera kepada kumpulan itu dilihat kecil tetapi ia meningkatkan kos inflasi bagi sektor itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menyemak turun unjuran pendapatan bagi FY22 dan FY23 sebanyak 5.4% dan 1.3% tetapi menaikkan unjuran pendapatan kumpulan sebanyak 4.5% bagi FY24.

 

Katanya, semakan unjuran itu dibuat berdasarkan pertambahan projek baharu pada tahun hadapan selain sumbangan yang rendah daripada loji ICPH di Singapura.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.86 sesaham," katanya. - DagangNews.com