Prestasi pemandu, penunggang airasia Super App lonjak pertumbuhan perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi pemandu, penunggang airasia Super App lonjak pertumbuhan perniagaan

Tan Sri Tony Fernandes (tengah) bersama-sama pemandu airasia ride dan penunggang penghantaran airasia yang berprestasi tinggi di acara penghargaan pemandu dan penunggang penghantaran di ibu negara pada 12 Januari 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan - airasia Super App memulakan 2023 bagi menghargai tenaga kerja industri gignya, termasuk pemandu airasia ride sepenuh masa dan sambilan serta penunggang penghantaran airasia food.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes memuji kerja keras dan sumbangan pemandu dan penunggangnya terhadap perniagaan pengangkutan dan penghantaran makanan sepanjang 2022.

 

Katanya, sejak pengumuman faedah pekerjaan sepenuh masa untuk pekerja gig airasia Super App tahun lepas, terdapat peningkatan yang ketara untuk perniagaan dalam pelbagai metrik utama.

 

"Setakat ini, terdapat sekurang-kurangnya 400 pemandu sepenuh masa dengan airasia ride yang telah menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan cemerlang kami dalam industri e-hailing. 

 

"Begitu juga untuk airasia food, yang mana jumlah penunggang sepenuh masa kami yang semakin meningkat yang berjumlah kira-kira 100 orang pada masa ini telah diterjemahkan kepada kadar penyiapan yang lebih tinggi sebanyak 85% dan peningkatan prestasi kelajuan penghantaran yang sangat ketara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Tony, program pekerjaan sepenuh masa untuk pemandu dan penunggang mereka bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan kecekapan, tetapi juga mewujudkan persekitaran kerja lebih kondusif dan memberikan mereka keseimbangan kerja serta kehidupan lebih baik.

 

“Ini mengulang dan memperkukuhkan pandangan kami bahawa adalah penting untuk menyediakan pekerja gig dengan kestabilan pekerjaan, pendapatan yang lebih baik dan faedah yang mencukupi kerana ia diterjemahkan kepada pulangan langsung untuk perniagaan. 

 

 

airasia

 

 

"Kami akan terus mempertahankan usaha kami untuk menjadi perinti, dan memberikan nilai terbaik kepada pelanggan sambil menjaga pekerja kami dengan baik," katanya.

 

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada setiap pemandu dan penunggang atas kerja keras mereka sepanjang 2022, terutama mereka yang telah komited untuk menjadi Allstars sepenuh masa. 

 

"Kami berharap dapat memanfaatkan ekosistem Capital A dan airasia yang lebih besar untuk memberikan lebih banyak faedah seperti kemudahan daripada BigPay, Tune Protect dan banyak lagi," katanya. - DagangNews.com