KUALA LUMPUR 16 Ogos - Dialog Group Bhd dijangka kekal kukuh berdasarkan asas kontrak bagi perkhidmatan kejuruteraan dan teknikal walaupun terdapat gangguan dalam permintaan terhadap petroleum mentah baru-baru ini.
MIDF Research berkata, selain itu, konflik geopolitik yang berpanjangan di Timur Tengah terus menyebabkan kapal tangki menukar laluan, seterusnya menambah permintaan terhadap kemudahan terminal darat.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut berpendapat perniagaan di peringkat antara huluan dan hiliran Dialog akan terus meningkat pada tahun kewangan 2025 (FY25).
"Menjelang FY25, kami menjangkakan Dialog akan terus melabur dalam pengembangan kapasiti ladang penyimpanan, serta EPCC untuk loji dan kemudahan hiliran.
"Pelaburan terbaharu Dialog RM250 juta dalam penyimpanan bahan api boleh diperbaharui juga boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan prestasi FY25 kumpulan, seiring dengan inisiatif peralihan tenaga di bawah Pelan Induk Perindusrian 2030 (NIMP2030) dan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, MIDF Research optimis terhadap prospek FY25 Dialog, termasuk pertumbuhan masa depannya dalam mengembangkan ladang penyimpanan untuk memasukkan bahan api hijau, serta dalam permintaan untuk perkhidmatan EPCC di segmen huluan dan hiliran.
"Namun, kami juga melihat risiko jangka pendek bagi kumpulan tersebut, dari segi pasaran minyak yang tidak menentu berikutan peningkatan ketegangan geopolitik secara tiba-tiba, perubahan pengeluaran OPEC+ yang drastik, permintaan yang lebih lemah dari China terhadap produk petroleum mentah dan tergerak serta tekanan inflasi yang meningkatkan kos bahan mentah dan buruh.
"Walaupun menghadapi cabaran-cabaran tersebut, kami berpendapat bahawa Dialog akan terus mengatasi cabaran ini, sambil juga memajukan inisiatif transformasi digitalnya dan mengekalkan daya saing dalam industri minyak dan gas yang bersepadu," jelasnya.
MIDF Reseach dalam paa itu mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran (TP) tidak berubah, RM2.72 sesaham.
"Pendapatan FY24 Dialog Group Bhd (Dialog) sedikit lebih rendah dari jangkaan tahun penuh kami pada 95%, tetapi sedikit di bawah anggaran konsensus pada 94%.
"Kami perhatikan segmen huluan kumpulan tersebut kekal positif dan peningkatan dalam kadar penghunian penyimpanan tangki masih kukuh – selari dengan permintaan yang lebih tinggi untuk penyimpanan darat dan aktiviti huluan yang lebih tinggi di dalam negara dan serantau, berikutan harga Brent mentah yang agak stabil," ujarnya. - DagangNews.com








