Pos Malaysia jangka hantar 250 tan beg dan barangan jemaah menerusi Perkhidmatan Bagasi Haji | DagangNews Skip to main content

Pos Malaysia jangka hantar 250 tan beg dan barangan jemaah menerusi Perkhidmatan Bagasi Haji

Perkhidmatan Bagasi Haji diuruskan Pos Malaysia sejak 1998.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 9 Mei – Pos Malaysia Berhad menjangkakan bakal mengendalikan penghantaran 250 tan bagasi dan barangan jemaah haji Malaysia pada tahun ini menerusi Perkhidmatan Bagasi Haji.   

 

Menurut Pos Malaysia, sebanyak 30 kakitangan terlibat dengan tujuh kaunter dibuka di hotel-hotel sekitar Mekah dan Madinah bagi memastikan perkhidmatan terbaik kepada para jemaah.

 

Kaunter-kaunter ini terletak di Abraj Al-Janadriyah, Qasr Al-Janadriyah, Masat Al-Badaya, Zwar Al-Bit, Al-Fajer Al-Badya 2, dan Jawharat Al-Bit di Makkah serta Emmar Royal di Madinah di mana kakitangan Pos Laju bersedia membantu segala keperluan jemaah.

 

 

"Kaunter Pos Laju beroperasi dari 7.30 pagi hingga 11 malam (waktu tempatan) dan jemaah akan memiliki pilihan membeli kotak Pos Laju dalam saiz kecil, sederhana dan besar untuk barang-barang yang akan dihantar ke rumah mereka dalam tempoh 7 hingga 14 hari bekerja. 

 

"Kaedah pembayaran yang tersedia adalah transaksi dalam Riyal Saudi di kaunter di Mekah dan Madinah atau tunai ketika penghantaran (COD) setelah menerima penghantaran mereka di Malaysia," kata Pos Malaysia dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Pos Malaysia, Perkhidmatan Bagasi Haji khusus untuk jemaah Malaysia dilaksanakan sejak tahun 1998 menerusi kerjasama Tabung Haji.

 

Selain itu, Pos Laju juga menawarkan pengendalian khusus untuk penghantaran al-Quran ke Malaysia termasuk penggunaan pelekat khas untuk membezakan kotak ini dan diurus dengan penuh berhati-hati, tidak diletakkan di lantai atau ditindih di bawah kotak-kotak yang lain.

 

haji
Perkhidmatan Bagasi Haji dilaksanakan Pos Malaysia sejak 1998.

 

Sementara tu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, seiring dengan ketibaan musim Haji 2024, Pos Laju kekal bersedia memelihara kesucian dan kepentingan ibadah ini bagi semua jemaah haji Malaysia. 

 

"Pasukan kami yang berdedikasi di Mekah dan Madinah akan memastikan setiap barangan yang diamanahkan kepada kami, seperti al-Quran dan bagasi peribadi, diuruskan dengan sepenuh perhatian dan profesional mengikut standard piawaian yang tertinggi.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerugian segmen pos, pertahanan terus jejas untung bersih DRB-Hicom, kata PublicInvest

 

“Dengan rangkaian penghantaran jarak terakhir yang meyantuni lebih dari 11 juta alamat, kami menawarkan ketenangan fikiran kepada semua jemaah Haji Malaysia bahawa barang-barang mereka akan selamat dihantar ke mana sahaja mereka berada di Malaysia. 

 

"Kami menyasarkan kira-kira 250 tan bagasi dan barangan untuk dihantar tahun ini,” katanya.- DagangNews.com