PNB sasar muncul syarikat sifar bersih menjelang 2025, labur RM10 bilion dalam aset hijau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PNB sasar muncul syarikat sifar bersih menjelang 2025, labur RM10 bilion dalam aset hijau

KUALA LUMPUR 21 April -  Permodalan Nasional Bhd. (PNB) hari ini mengumumkan Rangka Kerja Kelestarian baharunya untuk muncul sebagai syarikat sifar bersih menjelang 2025. 

 

Aspirasi itu merupakan sebahagian daripada 10 komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang digariskan dana pelaburan negara itu dengan berdasarkan kepada 3 teras. 

 

Menerusi teras alam sekitar, PNB juga berusaha untuk menyelaraskan usaha kelestariannya bagi menyokong peralihan ke arah ekonomi hijau bagi mencapai portfolio sifar bersih menjelang 2050 dan melabur sebanyak RM10 bilion dalam aset Hijau dan Peralihan menjelang 2030.

 

Bagi teras sosial pula, PNB bermatlamat untuk menangani isu-isu mengenai ekuiti dan keterangkuman termasuk mengambil pendirian tegas terhadap isu hak buruh demi mengukuhkan lagi Rangka Kerja Pengawasan yang dilancarkan pada 2020.

 

Ia juga akan memastikan semua kakitangan PNB memperoleh gaji melebihi upah sara hidup menjelang 2023 dan menetapkan sasaran 40% penyertaan wanita di peringkat pengurusan kanan menjelang 2025. 

 

Di bawah teras itu juga, syarikat komited untuk mengimbangi keuntungan PNB dengan pelaburan sosial agar sejajar dengan misi meningkatkan kekayaan untuk Bumiputera dan semua rakyat Malaysia.

 

Untuk teras terakhir di bawah tadbir urus, PNB memberi tumpuan untuk menjadi lebih telus dan aktif secara strategik dalam melibatkan isu berkaitan ESG dan perubahan iklim. 

 

PNB menyokong amalan tadbir urus yang kukuh dengan cara mewujudkan Model Pengawasan Triple Bottom Line, untuk memacu ketelusan yang lebih tinggi dalam pengundian dan memastikan pendedahan pelaporan adalah selaras dengan Pasukan Petugas untuk Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim. 

 

 

PNB
Sumber : Permodalan Nasional Bhd.

 

 

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata semasa taklimat media sebentar tadi, sebagai salah satu institusi pengurusan dana terbesar negara dengan kira-kira 10% dilaburkan dalam syarikat domestik yang tersenarai di bursa tempatan, PNB mempunyai tanggungjawab untuk mengemudi kerumitan perjalanan ESG. 

 

"Kami percaya bahawa lebih banyak lagi boleh dicapai secara kolektif dan dengan itu PNB akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam memajukan pengetahuan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang ESG, serta penggunaan dan amalan terbaiknya untuk kekal mampan," jelasnya. 

 

Dalam usaha memastikan kejayaan pelaksanaan Rangka Kerja Kelestariannya, PNB telah mewujudkan struktur tadbir urus komprehensif terdiri daripada jawatankuasa pengurusan yang berperanan melaporkan kepada Lembaga Pengarah. 

 

Selaras dengan itu, PNB telah mewujudkan 2 fungsi baharu, iaitu Bahagian Pengawasan Pelaburan dan Jabatan Kelestarian Perusahaan yang bertanggungjawab ke atas pelaksanaan keseluruhan Rangka Kerja tersebut.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, PNB akan bekerjasama dengan syarikat pelaburannya ke arah membangunkan pelan penciptaan nilai yang akan memastikan pertumbuhan mampan operasi dan prestasi kewangan. 

 

Katanya, terdapat tekanan yang hebat pada masa kini untuk syarikat menunjukkan prestasi kewangan, dan pada masa sama turut menerapkan aspek ESG ke dalam perniagaan.

 

"Kami percaya bahawa, melalui usaha kolektif kami, cara baharu menjalankan perniagaan ini akan mewujudkan manfaat yang bermakna untuk PNB, syarikat pelaburan kami, rakan kongsi serta pihak berkepentingan lain, dan pastinya jutaan rakyat Malaysia yang telah memberi kepercayaan kepada kami untuk mengurus pelaburan mereka," jelasnya. - DagangNews.com