PMB Investment rangkul tiga anugerah dana unit amanah patuh syariah terbaik Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PMB Investment rangkul tiga anugerah dana unit amanah patuh syariah terbaik Malaysia

Mahdzir Othman (tengah) dan Mahani Ibrahim (empat, kiri) bersama anugerah yang dimenangi ketika majlis Anugerah Refinitiv Lipper Fund pada 14 Mac 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Mac - Sebuah anak syarikat milik penuh Kumpulan Pelaburan MARA Bhd, PMB Investment Bhd merangkul tiga anugerah dalam tiga kategori dana unit amanah patuh syariah terbaik Malaysia pada majlis Anugerah Refinitiv Lipper Fund 2023.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, Mahdzir Othman berkata, pihaknya amat berbesar hati dan bersyukur atas kejayaan PMB Investment memenangi dua anugerah untuk dua daripada dana mereka.

 

"Selain itu, pengiktirafan sebagai ‘Best Equity Group - Malaysia Provident Funds’ adalah satu lagi pencapaian yang membanggakan dalam tempoh pandemik yang memberi tekanan dan ketidakstabilan kepada sosial, ekonomi dan politik," katanya dalam kenyataan semalam.

 

Dana tersebut, PMB Shariah Tactical Fund (PMB STF) memenangi Anugerah Dana Refinitiv Lipper 2023 untuk kategori ‘Mixed Asset MYR Flexible Best Fund’ bagi tempoh lebih lima tahun berakhir 31 Disember 2022. 

 

Seterusnya, PMB Shariah Equity Fund (PMB SEF) pula memenangi anugerah untuk kategori ‘Equity Malaysia Diversified Best Fund’ bagi tempoh tiga dan lima tahun berakhir 31 Disember 2022.

 

Mahdzir berkata, pihaknya akan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan pelaburan yang diamanahkan pelabur mereka dengan memberikan prestasi konsisten dan penyelesaian pelaburan yang dapat memanfaatkan setiap peluang dalam semua keadaan pasaran.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Mahani Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada badan pemberi anugerah atas pengiktirafan yang diberikan kepada pihaknya.

 

"Anugerah Refinitiv Lipper adalah pengiktirafan berasaskan merit terhadap usaha kami untuk terus memberi nilai kepada pelabur kami melalui produk dan perkhidmatan terbaik," katanya.

 

Beliau berkata, PMB Shariah Tactical Fund merekodkan pulangan 16% untuk tempoh lima tahun berakhir pada 31 Disember 2022. 

 

Manakala, PMB Shariah Equity Fund mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila memberi pulangan sebanyak 95% untuk tempoh tiga tahun dan 89% untuk tempoh lima tahun, masing-masing berakhir pada 31 Disember 2022. 

 

Katanya, pelabur secara semula jadi mencari dana dengan prestasi yang kukuh. 

 

"PMB Shariah Equity Fund mengekalkan prestasinya sepanjang masa mencabar ini dan terus mencatatkan pulangan 29% untuk setahun bagi prestasi berakhir 28 Februari 2023, manakala PMB Shariah Tactical Fund mencatatkan 10% pulangan untuk tempoh yang sama," katanya. - DagangNews.com