PM ucap takziah atas pemergian Shinzo Abe | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM ucap takziah atas pemergian Shinzo Abe

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah dan simpati yang mendalam kepada kerajaan dan rakyat Jepun atas pemergian bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe.

 

Ismail Sabri menerusi hantaran di Facebooknya berasa amat sedih apabila mendengar perkhabaran duka tentang insiden mengenai beliau (Shinzo Abe) yang baru ditemui pada awal tahun ini sebagai Utusan Khas Tuan Yang Terutama.

 

"Saya menzahirkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada kerajaan dan rakyat Jepun di atas pemergian beliau.

 

"TYT Abe telah memainkan peranan yang penting dalam hubungan erat antara Malaysia dan Jepun, dan merupakan pendukung utama Dasar Pandang ke Timur.

 

"Saya berharap agar keluarga mendiang dan seluruh rakyat Jepun tabah menghadapi dugaan dalam suasana sedih serta pilu ini," katanya.

 

Terdahulu, Shinzo Abe, 67, disahkan meninggal dunia selepas beliau ditembak pada acara kempen hari ini, penyiar awam NHK melaporkan.

 

Menurut pegawai kanan LDP (Parti Demokratik Liberal), bekas perdana menteri Abe meninggal dunia di sebuah hospital di bandar Kashihara, wilayah Nara, tempat beliau menerima rawatan perubatan. - DagangNews.com