PUTRAJAYA 9 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyaksikan pertukaran dokumen Cloud Framework Agreement (CFA) antara kerajaan dengan empat penyedia perkhidmatan awan (CSP).
Pertukaran dokumen itu membabitkan antara Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Urusan Malaysia (MAMPU) dengan Telekom Malaysia Bhd., Microsoft (Malaysia) Sdn. Bhd., Amazon Web Services Malaysia Sdn. Bhd. dan Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.
MAMPU dalam satu kenyataan berkata, CFA itu bertujuan memacu transformasi digital sektor awam seperti yang dinyatakan dalam Pelan Induk (Blueprint) Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).
"Perkhidmatan itu dijangka berupaya mengoptimumkan sumber kerajaan dan mobiliti bekerja dalam persekitaran digital bagi membolehkan proses kerja serta urus niaga tanpa kertas yang lebih berkesan secara 'End-to-End'.
"Bagi memastikan Perkhidmatan Pengkomputeran Awan dapat dimanfaatkan oleh seluruh agensi sektor awam, kerajaan mengambil langkah strategik dengan menaik taraf perkhidmatan Pusat Data Sektor Awam (PDSA) kepada Perkhidmatan Pengkomputeran Awan Sektor Awam yang dikenali sebagai MyGovCloud.
"Perkhidmatan MyGovCloud berfungsi secara hibrid dengan menggabungkan perkhidmatan Private Cloud di PDSA dan Public Cloud oleh Cloud Service Provider (CSP) yang dilantik kerajaan," katanya.
Pada majlis tersebut, Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Seri Dr Yusof Ismail, bertukar dokumen perjanjian dengan wakil dari empat anak syarikat CSP terlibat, iaitu Radmik Solutions Sdn. Bhd. di bawah Amazon, Cloud Connect Sdn. Bhd. (TM), Enfrasys Solutions Sdn Bhd (Microsoft), dan Awantec System Sdn Bhd (Google).
Selain Perdana Menteri, turut menyaksikan pertukaran dokumen itu ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Tambah kenyataan itu, CFA menjadi platform menerangkan inisiatif yang diambil kerajaan untuk manfaat kementerian serta agensi sektor awam, selain meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan berpaksikan rakyat dan berpacukan data.
"Malah, ia meningkatkan tahap keyakinan pemegang taruh terhadap keberkesanan penggunaan pengkomputeran awan dalam transformasi digital kerajaan," katanya. - DagangNews.com








