KUALA LUMPUR 29 Ogos - Trend semasa dunia yang dilihat begitu agresif dalam mengurangkan jejak karbon, memberi impak perkembangan cukup positif buat negara, demikian menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketika berucap sempena merasmikan Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Kelima 2022 pagi tadi, Perdana Menteri berkata, peningkatan dalam pelaburan serta permintaan bekalan elektrik mesra alam atau elektrik hijau akan membuka peluang ekonomi dan perniagaan baharu kepada pemain industri Tenaga Boleh Baharu (TBB) tempatan.
Menurut beliau, dengan mengambil kira Malaysia memiliki rantaian nilai industri TBB yang kukuh daripada peringkat pembuatan sehingga ke peringkat pembekalan perkhidmatan, negara dalam hal ini perlu memanfaatkan kelebihan dimiliki untuk menarik pelaburan hijau dan bernilai tinggi ini.
"Hasrat ini perlu didukung melalui penetapan dasar perancangan penjanaan dan pembekalan elektrik yang lebih kompetitif, bercita-cita tinggi dan dicorak berasaskan perkembangan dan permintaan semasa.
"Ini termasuk penyediaan mekanisme dan sistem pembekalan yang anjal dan responsif, melalui teknologi
moden dan pintar, bagi mengendalikan kemasukan tenaga boleh baharu yang lebih tinggi dan menguruskan permintaan tenaga secara efisien," katanya pada majlis tersebut.
Turut hadir Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pengarah Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui (IRENA) Francesco La Camera.

Persidangan itu yang bertemakan 'Memperkasakan Peralihan Tenaga' membuka peluang kepada para penggubal dasar, pemain industri dan cendekiawan dalam bidang tenaga lestari, untuk berbincang dan memahami
strategi serta amalan terbaik berkaitan peralihan tenaga di seluruh dunia.
Perdana Menteri menyifatkan perkara itu penting dalam menjadikan Malaysia lebih mampu menarik kemasukan pelaburan langsung asing kerana kelebihannya menyediakan capaian kepada bekalan elektrik hijau yang berkualiti.
Sehubungan itu, katanya Kementerian Tenaga dan Sumber Asli telah diminta menerajui perubahan dasar ini dengan menambah baik kerangka dasar dan regulatori pembekalan elektrik sedia ada, agar selaras dengan keperluan dan permintaan semasa.
Beliau yakin Malaysia yang diberkati pelbagai sumber TBB yang boleh diterokai, sekiranya diwujudkan satu dasar peralihan tenaga yang berdaya maju, negara mampu menarik pelaburan syarikat korporat yang memerlukan bekalan elektrik hijau.
"Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 yang lalu, saya telah mengumumkan aspirasi negara untuk
mencapai sasaran pelepasan gas rumah hijau (gas rumah kaca) bersih sifar pada 2050.
"Aspirasi ini menunjukkan kesungguhan Malaysia menyertai seluruh warga dunia untuk merealisasikan matlamat menangani perubahan iklim, meskipun kita menyumbang kurang daripada 0.7% daripada jumlah gas rumah hijau dunia," jelasnya.
Sehubungan itu, Ismail Sabri menyambut baik laporan awal kajian Malaysia Energy Transition Outlook (METO) tentang senario peralihan tenaga yang boleh dilaksanakan.
"Saya berharap laporan akhir METO yang akan dimuktamadkan nanti, bakal menjadi panduan penetapan
hala tuju peralihan tenaga negara sehingga 2050 dan menyumbang secara lebih signifikan terhadap aspirasi
negara neutral karbon 2050," katanya. -DagangNews.com








