PM Ismail Sabri, Hsien Loong bincang isu kepentingan bersama di Tokyo | DagangNews Skip to main content

PM Ismail Sabri, Hsien Loong bincang isu kepentingan bersama di Tokyo

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika bertemu rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong di Imperial Hotel, Tokyo pagi ini. 
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam rangka lawatan kerja rasmi ke Jepun selama enam hari, mengadakan pertemuan empat mata bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong di Imperial Hotel, Tokyo, pagi ini. 

 

Kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan tidak formal selama 30 minit bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama.

 

Singapura merupakan negara jiran yang akrab dengan Malaysia serta menikmati hubungan kerjasama yang mendalam dan mesra dalam pelbagai aspek.

 

Pada 29 November 2021, Ismail Sabri telah memulakan lawatan rasmi kali pertama ke Singapura sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.

 

Dalam lawatan itu, kedua-kedua pemimpin tersebut melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VCL) laluan darat Singapura-Malaysia.

 

Dalam pada itu, kedua-dua mereka dijadualkan akan menyampaikan ucaptama Persidangan ke-27 Nikkei Future of Asia bersama-sama beberapa ketua negara yang lain pada pagi esok.

 

Ismail Sabri akan menyampaikan ucapan dan suara Malaysia dalam bahasa Melayu pada persidangan tersebut.

 

Perdana Menteri dijangka membangkitkan isu-isu termasuk meningkatkan integrasi ekonomi serantau, memperkasakan mekanisme rundingan dan kerjasama, kerjasama dalam menangani perubahan iklim serta berkongsi konsep Keluarga Malaysia dalam ucaptamanya.

 

Ketika di Tokyo, Ismail Sabri juga akan mengadakan pertemuan dengan tokoh korporat dan ahli perniagaan daripada syarikat terkemuka di Jepun bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing dan memperkukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan Jepun.

 

Antara tokoh yang akan ditemuinya pada 27 Mei adalah syarikat Jepun yang telah bertapak di Malaysia seperti Mitsui Fudosan, Mitsubishi Power dan Marubeni, dan berpotensi untuk mengembangkan operasi mereka di Malaysia. - DagangNews.com