PUTRAJAYA 13 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap setiap menteri yang pulang ke kawasan Parlimen, boleh membawa Felo bersama supaya dapat mempelajari pengalaman tersebut.
Ismail Sabri berkata, Felo bukan sahaja mendapat pendedahan mengenai tadbir urus negara, sidang Parlimen, tetapi juga aktiviti politik di Parlimen masing-masing.
"Secara tidak langsung, apabila bersama-sama dengan menteri, Felo akan tahu bagaimana susah senang pekerjaan tersebut dan apa sebenarnya yang dilakukan.
"Gunakanlah peluang yang ada ini sebaiknya untuk menimba ilmu. Kepada para menteri, turunkanlah ilmu agar mereka dapat pengalaman yang berharga sepanjang program," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Peserta Felo Perdana & Felo Korporat Tahun 2022 di Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, pada masa sama setiap Felo perlu bersikap proaktif dan mengambil inisiatif sendiri jika ingin mempelajari lebih mendalam sesuatu perkara.
Beliau berkata, apabila menjadi Felo seorang menteri, mereka berpeluang melihat dan belajar cara seorang menteri menguruskan kementerian.

Jelasnya, pendedahan itu tidak terhad kepada skop kerja seseorang menteri sahaja, tetapi gerak kerja bagi keseluruhan kementerian.
"Sebagai contoh, Felo boleh berjumpa dengan Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (TKSU) untuk belajar apa yang ada di kementerian tersebut.
"Ini termasuk cara bagaimana sesuatu dasar dan polisi sesebuah kementerian itu dilakukan. Begitu juga jika berpeluang untuk ke Parlimen, harus dimanfaatkan untuk melihat debat dilakukan di dalam Parlimen serta proses dalam menyediakan kertas jawapan bagi sidang Parlimen.
"Banyak perkara yang boleh dipelajari, sama ada tugas sebagai menteri dan ahli parlimen. Selain itu, Felo juga akan didedahkan dengan tugas sebagai ahli politik," katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berata, sejak pelaksanaan program Felo Perdana pada 2013 dan Felo Korporat pada 2019, seramai 753 anak muda yang memiliki bakat kepemimpinan yang tinggi telah menyertainya.
"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Felo yang terpilih kali ini. Saya difahamkan daripada ribuan yang memohon, hanya 10% sahaja yang diterima. Tahniah buat semua yang terpilih," katanya.
Beliau berkata, pendedahan daripada program Felo Perdana merupakan yang terbaik, sama ada kepada graduan atau lepasan graduan.
"Hasil program ini saya dimaklumkan, selain masih terus berkhidmat dengan mentor, ada Felo yang ditawarkan menjadi penjawat awam dan juga menyertai sektor korporat dan ada yang menjadi usahawan, aktivis dan ahli politik.
"Di pejabat saya sendiri iaitu Pejabat Perdana Menteri, daripada tiga orang Felo Perdana yang ditempatkan di sini pada tahun lepas, dua orang masih berkhidmat dengan ditawarkan jawatan bersesuaian.
"Mereka ini banyak membantu khususnya dalam menyalurkan idea-idea baru bersesuaian dengan perkembangan terkini melibatkan generasi muda. Gunakanlah platform ini untuk memberikan idea dan visi untuk membina negara yang lebih baik era pasca pandemik COVID-19," katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada 110 peserta Felo Perdana dan Felo Korporat bagi tahun 2022.
"Semoga saudara-saudari dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah, berintegriti dan profesional bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara," katanya. - DagangNews.com








