KUALA LUMPUR 20 Jan - Bagi meraikan ketibaan Tahun Arnab, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan sebahagian besar kawasan rehat dan rawat (R&R) kini menerima pembayaran tanpa tunai untuk memberi lebih kemudahan dan ganjaran bermanfaat kepada pengguna lebuh raya.
Lebih daripada 300 gerai yang beroperasi di PLUS R&R telah menerima pembayaran tanpa tunai melalui kad debit, kad kredit, GrabPay, Touch ‘n Go e-Wallet (e-dompet), Boost, MAE, Setel, ShopeePay dan MPay.
Ketua Pegawai Komersial PLUS, Christine Liew berkata, ia selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menggalakkan orang ramai menerima dan menggunakan pembayaran tanpa tunai.
Beliau berkata, sejak setahun lalu, GrabPay, Touch ‘n Go e-Wallet, Boost dan ShopeePay merupakan antara rakan kongsi PLUS yang terawal menawarkan ganjaran pulangan tunai kepada pengguna di R&R.
“Selain itu, bagi menggalakkan lebih ramai pengguna lebuh raya untuk mengamalkan pembayaran tanpa tunai di R&R PLUS, MyDebit telah melancarkan peraduan “Wave & Menang” bermula dari 1 Disember 2022 sehingga 28 Februari 2023.
"Ia membolehkan pengguna kami berpeluang memenangi hadiah keseluruhan RM70,000 dengan hanya perlu berbelanja minimum RM5 dengan kad debit mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Christine, aplikasi Setel juga menawarkan ganjaran pulangan tunai kepada pengguna di R&R yang berbelanja minimum sebanyak RM5 dan memperoleh RM2 pulangan tunai dari 16 Januari hingga 28 Februari 2023.

Katanya, aplikasi tersebut memberikan pulangan tunai sebanyak RM5 kepada orang ramai yang menambah nilai minimum RM50 pada akaun Setel mereka.
"Pelbagai promosi dan aktiviti akan dijalankan pada tahun 2023 bersama rakan kongsi pembayaran yang lain seperti MAE, Visa dan Mastercard untuk memberikan pengalaman pembayaran tanpa tunai yang bermanfaat kepada semua pengguna lebuh raya," katanya. - DagangNews.com








