KUALA LUMPUR 20 Dis - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerima dua anugerah Rangkaian Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu anugerah 'SDG Ambition Benchmark' bagi Insiden Sifar Rasuah dan pengiktirafan 'Pioneer Sustainable Development Action Recognition' kerana menegakkan standard hak asasi manusia.
PLUS juga merupakan syarikat lebuh raya pertama menjalankan penilaian hak asasi manusia sejajar dengan Piawaian Global PBB.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pihaknya menyedari dengan menerima, menggunapakai dan melaksanakan inisiatif kelestarian sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB (UNSDGs) merupakan langkah penting dan perlu untuk kekal berdaya saing.
Beliau berkata, misi utama PLUS adalah menghubungkan komuniti untuk membentuk masa depan yang selamat dan lestari.
"Ini merangkumi kepercayaan dan komitmen kami ke arah menerapkan prinsip-prinsip teras kelestarian dalam setiap aspek operasi kami, merentasi rantaian ekosistem, kerana hari ini adalah asas pada masa akan datang bagi memastikan kejayaan mana-mana organisasi," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Tadbir Urus dan Risiko PLUS, Satpal Singh pula berkata, UNGCMYB menjadi rakan kerjasama kepada PLUS dan menyediakan akses kepada sumber berharga untuk menyokong syarikat dalam perjalanan kelestariannya.
"Anugerah dan pengiktirafan ini membuktikan kesungguhan kami untuk terus mendokong 10 Prinsip UNGC dalam semua yang kami capai," katanya.

Terdahulu, PLUS telah menjadi ahli UNGCMYB sejak September 2021.
Program Anugerah Prestasi Kelestarian telah diperkenalkan oleh UNGCMYB untuk mengiktiraf usaha teladan yang diambil oleh syarikat-syarikat Malaysia bagi menegakkan prinsip-prinsip kelestarian dalam menyokong pembinaan negara dan memberi inspirasi kepada orang lain. - DagangNews.com








