KUALA LUMPUR 11 April - PLUS Malaysia Bhd menjangkakan kira-kira 2 juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh raya kendaliannya setiap hari khususnya pada hari-hari puncak (hari-hari yang dijangka mencatatkan jumlah trafik tertinggi) menjelang sambutan Aidilfitri.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, peningkatan jumlah kenderaan itu akan bermula pada 20 April hingga 21 April, 24 April hingga 25 April, 29 April hingga 1 Mei dan 4 Mei hingga 7 Mei 2023.
Beliau berkata, ia merupakan peningkatan sebanyak 20% berbanding jumlah trafik pada hari-hari biasa.
“PLUS menyarankan agar orang ramai yang menggunakan rangkaian lebuh raya kami supaya merancang perjalanan mereka dengan baik dan pulang ke kampung lebih awal bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam lonjakan trafik pada hari-hari puncak.
“Bagi menguruskan lonjakan trafik pada perayaan kali ini, PLUS telah membuat persediaan dan mengatur pelbagai strategi bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selamat dan selesa di lebuh raya kami.
"Strategi-strategi tersebut merangkumi aspek keselamatan lebuh raya, pengurusan trafik dan kesesakan, pengagihan trafik, pengurusan trafik di plaza tol, pengurusan kemudahan di kawasan rehat, hebahan maklumat trafik dan sebagainya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, pihaknya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan aspek keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa berada pada tahap yang baik, termasuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang serta advokasi di lebuh raya sepanjang musim perayaan ini.

Selain itu katanya, PLUS turut menempatkan Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) yang terdiri daripada PDRM, JPJ, Angkatan Pertahanan Awam (APM), St John Ambulans dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di 11 lokasi strategik di lebuh raya dengan lebih daripada 500 petugas.
Beliau berkata, untuk meningkatkan tahap keselamatan di rangkaian Lebuhraya PLUS termasuklah di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada musim perayaan ini, sebanyak 269 jumlah pasukan peronda lebuh raya merangkumi PLUSRonda dan LPT2Ronda ditugaskan menjalankan rondaan 24 jam sehari bagi membantu pengguna lebuh raya yang mengalami kecemasan atau kerosakan kenderaan.
"Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 9.3% berbanding hari-hari biasa," katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan dalam tempoh terdekat sebagai strategi untuk mengagihkan trafik dan membantu orang ramai merancang perjalanan mereka untuk pulang ke kampung atau kembali semula ke Lembah Klang pada musim perayaan ini.
Katanya, PLUS turut menempatkan lebih 6,000 petugas dari keseluruhan ekosistem lebuh raya di plaza-plaza tol, kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah dan laluan utama lebuh raya meliputi anggota peronda, pembantu khidmat pelanggan dan penyelia plaza tol, petugas Pusat Pemantauan Trafik (TMC), anggota RELA, ERT serta kakitangan penyelenggaraan untuk bersedia membantu pengguna lebuh raya.
Dalam pada itu katanya, PLUS akan menghentikan sementara kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan di lebuh raya mulai 19 April hingga 1 Mei 2023 bagi memastikan perjalanan di lebuh raya lebih lancar dan selesa.
"Dalam tempoh tersebut, tiada penutupan lorong akan dilaksanakan. Namun begitu, sekiranya berlaku kes-kes kecemasan serta terdapat kerja pembaikan kritikal, penutupan lorong terpaksa dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya ketika musim perayaan ini," katanya. - DagangNews.com








