PKP 2.0: Permintaan domestik Panasonic dijangka lemah | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0: Permintaan domestik Panasonic dijangka lemah

Panasonic Manufacturing Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 hingga 26 Januari 2021 di enam buah negeri dilihat tidak memberi kesan yang teruk kepada Panasonic Manufacturing Malaysia (PMMA) seperti yang dilaksanakan tahun lalu.

 

CGS-CIMB Research berkata, bagaimanapun, perintah tersebut berkemungkinan akan memberi kesan kepada permintaan domestik PMMA.

 

"Kami berpendapat pelaksanaan semula PKP mulai 13 Januari 2021 tidak mungkin seteruk pelaksanaan pertama pada tahun lalu kerana PMMA dapat meneruskan operasi dalam kapasiti yang penuh.

 

"Bagaimanapun, permintaan domestik berkemungkinan lebih lemah disebabkan oleh penurunan kehadiran pengunjung meskipun kedai elektrik dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP," jelas CGS-CIMB Research.

 

Mengulas lanjut berkaitan jangkaan itu, CGS-CIMB Research memberitahu, pihaknya percaya perkara tersebut mampu diimbangi oleh penjualan eksport terutamanya di pasaran Asia Tenggara yang berkembang pesat dan menunjukkan momentum pemulihan pada suku kedua tahun kewangan 2021.

 

Namun, risiko kos turut timbul dalam aspek kos bahan mentah yang lebih tinggi (meningkat sejak pertengahan 2020) serta kadar penghantaran yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, MIDF Research dalam nota kajian berkaitan PMMA memaklumkan, syarikat tersebut merancang untuk lebih fokus kepada jualan kategori produk utama iaitu kipas angin, produk mandian rumah, dan pembersih vakum ke pasaran yang kukuh.

 

PMMA merancang untuk mengeksport lebih banyak kipas angin ke Vietnam selain dapat mengurangkan potensi kekurangan pasaran lain seperti Thailand.

 

Bagi pasaran domestik, PMMA akan terus mempertahankan pasaran dalam  segmen kipas siling.

 

CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'pegang' saham PMMA dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM33.00.

 

Bagi, MIDF Research pula, saranan saham PMMA ditingkatkan kepada 'beli' bersama TP berjumlah RM35.45 berbanding RM29.19 pada sebelumnya. - DagangNews.com