KUALA LUMPUR 4 Jun – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjalin kerjasama strategik dengan Maybank bagi menawarkan skim pembiayaan perumahan serta pembiayaan ubah suai dalaman rumah sehingga 120% daripada nilai hartanah kepada semua pemilik rumah PKNS.
Menerusi kemudahan pembiayaan MyDeco Maybank itu, pemilik rumah ditawarkan pilihan untuk menambah margin kewangan sebanyak 30% atau sehingga jumlah gabungan 120% daripada nilai hartanah.
Ia meliputi kos ubah suai, reka bentuk dalaman, perabot, kelengkapan, estetika, hiasan dan sebagainya di mana ia mesti digunakan sepenuhnya serta dikeluarkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pengeluaran pertama.
Kerjasama strategik itu dijalin menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara PKNS dan Maybank yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas dan Syed Ahmad Taufik Albar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS), Maybank di satu majlis di Shah Alam.
Mahmud berkata, inisiatif ini bertujuan membantu pemilik rumah memiliki hiasan dalaman rumah impian mereka menerusi kemudahan pembiayaan yang mudah diakses untuk menjadikan transformasi rumah impian sebagai satu realiti.
“PKNS memahami dan menyedari yang ramai pemilik kediaman baharu menghadapi cabaran dalam pengubahsuaian rumah mereka atas faktor kekurangan bajet, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi hari ini di mana harga barangan semakin mencanak naik.
"Oleh itu, dengan kerjasama bersama Maybank, PKNS menawarkan pakej pembiayaan MyDeco Maybank bagi membantu untuk mengurangkan kekangan kewangan pembeli dan merelisasikan rumah impian mereka.
"Ini adalah bukti komitmen perbadanan yang tidak berbelah bahagi dalam memenuhi keperluan dan aspirasi pelanggan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Taufik berkata, kerjasama strategik di antara PKNS dan Maybank ini selaras dengan objektif untuk memperkasakan dan memudahkan pemilikan rumah untuk pelanggan.
Katanya, ini dilakukan dengan memahami dan memenuhi kehendak asas mereka pada setiap detik kehidupan yang sentiasa berubah.
“Kami menyediakan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan kami, sejajar dengan tujuan kami untuk Menginsankan Perkhidmatan Kewangan dengan memudahkan perjalanan pemilikan rumah atau Home Ownership Journey mereka.
"Pembiayaan inovatif seperti MyDeco Maybank ditawarkan untuk membantu pemilik rumah dalam merealisasikan rumah idaman mereka dengan bantuan aliran tunai tambahan melalui fasiliti tersebut,” tambah Taufik
Pembiayaan MyDeco Maybank ini menawarkan pemilik rumah pilihan untuk menambah margin kewangan sebanyak 30 peratus atau sehingga jumlah gabungan 120% daripada nilai hartanah.
Ia juga meliputi kos ubah suai, reka bentuk dalaman, perabot, kelengkapan, estetika, hiasan dan sebagainya di mana ia mesti digunakan sepenuhnya serta dikeluarkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pengeluaran pertama.
Kerjasama ini juga bertujuan untuk melihat lebih ramai masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk memiliki kediaman yang mampu milik, berkualiti dan lengkap dengan kelengkapan dalaman rumah serta dekorasi menarik yang diimpikan.
Layari laman sesawang PKNS di www.pkns.gov.my untuk mendapatkan info lebih lanjut mengenai projek-projek hartanah PKNS.- DagangNews.com







