PHS Automotive Malaysia perkenal program kesetiaan baharu untuk manfaat pemilik kenderaan Audi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PHS Automotive Malaysia perkenal program kesetiaan baharu untuk manfaat pemilik kenderaan Audi

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Feb - PHS Automotive Malaysia (PHSAM) memperkenalkan program kesetiaan baharu Audi Plus, bertujuan memberi manfaat kepada pemilik Audi dengan kenderaan lima tahun ke atas.

 

Audi dalam kenyataan hari ini memaklumkan, program Audi Plus menawarkan pemilik Audi tiga baucar perkhidmatan 10% yang boleh digunakan dalam tempoh tiga tahun selepas tahun kelima perkhidmatan.

 

Selain itu katanya, Audi menyediakan bantuan tepi jalan percuma sehingga 12 bulan dari tarikh penebusan baucar. 

 

"Program ini adalah eksklusif untuk kenderaan Audi yang berumur lima tahun ke atas, termasuk kenderaan Audi import selari dan terus. 

 

"Pemilik hanya perlu melawati Pusat Audi terdekat mereka untuk melanggan," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, dengan Audi Plus, pemilik boleh menjangkakan bahagian Audi tulen yang dicirikan reka bentuk dan bahan berkualiti tinggi akan digunakan dalam menservis kenderaan mereka. 

 

Katanya, daripada penapis minyak dan udara, pengecas bateri, bilah pengelap, pencuci cermin depan dan palam pencucuh ke pad brek, bahagian ini adalah padanan yang tepat, dengan kualiti serta nilai yang terbukti untuk memastikan mana-mana kenderaan Audi berjalan lancar.

 

 

audi

 

 

Sementara itu, Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter berkata, Audi Plus adalah lanjutan daripada usaha penjagaan pelanggan berterusan PHSAM untuk memupuk pengalaman pemanduan yang luar biasa bagi pemilik Audi, termasuk mereka yang mempunyai model lama. 

 

"Pemilik boleh mengharapkan perkhidmatan yang komprehensif dan lancar di pusat servis kami melalui program ini, kerana juruteknik kami telah menjalani latihan, penilaian dan pensijilan yang meluas oleh Audi," katanya.

 

Tambahnya, selain kepakaran yang betul, mereka juga dilengkapi dengan peralatan dan jentera tepat untuk diperiksa serta menyelenggara kenderaan mengikut garis panduan pengeluar. - DagangNews.com