Petronas nafi spekulasi penggabungan MHB, Sapura Energy | DagangNews Skip to main content

Petronas nafi spekulasi penggabungan MHB, Sapura Energy

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mei - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menafikan spekulasi penggabungan antara anak syarikat tidak langsung mereka, Malaysia Marine Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) dan Sapura Energy Berhad.

 

"Sebarang pertimbangan pelaburan dan pelupusan dalam kumpulan itu akan dilakukan berpandu kepada rangka kerja yang diluluskan lembaga pengarah dan dikuat kuasakan oleh pasukan pengurusan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, terdapat laporan yang menyatakan Sapura Energy yang sarat dengan hutang akan bergabung dengan MHB dan perbincangan awal mengenainya sedang berlangsung.

 

Dilaporkan, pemegang saham terbesar Sapura Energy dan MHB, masing-masing iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Petronas, 'berfikir' untuk menggabungkan dua penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G) tetapi menegaskan perbincangan masih di 'peringkat awal'.

 

Cadangan berkenaan termasuk rancangan penstrukturan semula syarikat Nota Amalan 17 (PN17) selain beberapa cadangan lain.

 

Satu sumber berkata, pemegang saham utama kedua-dua syarikat masih dalam proses melantik peguam untuk potensi penggabungan, jadi sukar untuk mengukur sama ada cadangan penggabungan itu akan berjaya.

 

Satu lagi sumber berkata bahawa perbincangan mengenai penggabungan antara Sapura Energy dan MHB bermula sejak 2015, memandangkan kedua-dua syarikat mempunyai kawasan fabrikasi yang besar tetapi sehingga kini tiada sebarnag keputusan mengenainya.

 

PNB ialah pemegang saham tunggal terbesar dalam Sapura Energy dengan 40% kepentingan, manakala MHB ialah 65.5% anak syarikat MISC Bhd, yang seterusnya 51% dimiliki oleh Petronas. - DagangNews.com