Petronas catat untung bersih RM80.7 bilion pada FY2023, susut hampir 21% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas catat untung bersih RM80.7 bilion pada FY2023, susut hampir 21%

KUALA LUMPUR 15 Mac - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM80.7 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, susut 20.6% berbanding tahun 2022 berikutan harga tenaga yang lebih rendah.

 

FY2022 merupakan rekod keuntungan tertinggi Petronas dengan RM101.6 billion.

 

Sementara itu, pendapatan Petronas pada FY2023 juga susut 7.7% kepada RM343.6 billion daripada RM372.3 billion setahun sebelumnya.

 

Bagi suku keempat (4QFY2023), Petronas merekodkan untung bersih RM16.6 bilion, jatuh 32% daripada RM24.4 bilion setahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi suku tersebut juga merosot 12% kepada RM91.7 bilion daripada RM104.2 bilion.

 

Sementara itu, jumlah aset Petronas juga bertambah kukuh kepada RM773.3 bilion pada 31 Disember 2023, naik berbanding RM710.6 bilion sebelumnya.

 

FY2023 menunjukkan Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) berjumlah RM114.2 bilion.

 

 

Pelaburan modal pula berjumlah RM52.8 bilion dengan pelaburan itu terutamanya adalah bagi projek huluan dan gas.

 

Perbelanjaan modal domestik pula meningkat sebanyak 41 peratus berbanding tahun sebelumnya terutamanya bagi pelaburan dalam Projek Gas Asli Cecair (LNG) Terapung Pesisir PETRONAS di Sabah selain Pembangunan Medan Gas Kasawari dan Kemudahan Penyerapan Karbon Dioksida (CO2) di Sarawak.

 

petr

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, untung bersih yang lebih rendah itu disebabkan oleh purata harga direalisasi yang lebih rendah.

 

Jelas beliau, harga minyak pada 2023 adalah 20 peratus lebih rendah berbanding tahun sebelumnya manakala harga gas pula turun ke paras dua tahun terendahnya tahun lalu.

 

"PETRONAS mencatatkan prestasi berdaya tahan pada 2023 di tengah-tengah persekitaran operasi yang tidak menentu.

 

"Ketika kami bergerak ke hadapan, kumpulan akan terus melaksanakan pengurusan kewangan yang berhemat dan disiplin, sebagaimana kami menggandakan pengurangan pelepasan dalam perniagaan teras dan mengejar penyelesaian tenaga yang lebih bersih," katanya.

 

Beliau dipetik berkata pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan PETRONAS bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 di sini, hari ini. - DagangNews.com