Petronas bersama 6 syarikat Korea Selatan bekerjasama dalam penyelesaian karbon | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas bersama 6 syarikat Korea Selatan bekerjasama dalam penyelesaian karbon

Kerjasama tersebut adalah sebahagian daripada langkah Petronas untuk membina portfolio yang mampan. - Gambar : Facebook Petronas

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Petronas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan 6 syarikat Korea Selatan bagi menjalankan kajian konsep dan kebolehlaksanaan bagi menubuhkan rantaian nilai sepenuhnya berkaitan penyerapan, pengangkutan dan penyimpanan karbon dioksida (CO2). 

 

Syarikat tersebut ialah Samsung Engineering Co. Ltd., Samsung Heavy Industries, SK Earthon Co. Ltd., SK Energy Co. Ltd., GS Energy Corporation dan Lotte Chemical Co.

 

Ketua Pengurusan Karbon Petronas, Emry Hisham berkata, MoU itu juga akan melibatkan penilaian tapak penyimpanan CO2 yang berpotensi di Malaysia dan penerokaan kawasan lain merentasi rantaian nilai penyerapan dan penyimpanan karbon (CCS), termasuk mengukuhkan pengangkutan CO2 rentas sempadan.

 

Katanya, kajian kebolehlaksanaan menerusi kerjasama tersebut akan mengenalpasti teknologi yang bersesuaian bagi CCS dan rantaian nilai pengangkutan.

 

"Ini akan meletakkan Petronas lebih dekat ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab penyelesaian CCS terkemuka di rantau ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kerjasama tersebut adalah sebahagian daripada langkah Petronas untuk membina portfolio yang mampan dengan penyelesaian inovatif untuk menghasilkan tenaga secara bertanggungjawab.

 

Selain itu, ia juga bagi menyokong peralihan kepada karbon yang lebih rendah pada masa depan melalui usaha kerjasama dengan rakan kongsi industri. - DagangNews.com