KUALA LUMPUR 13 Feb - Pesona Metro Holdings Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Lumayan Metro Sdn. Bhd. dilantik sebagai kontraktor 'turnkey' membabitkan projek pembangunan 3,438 unit rumah Residensi Wilayah bernilai RM948.13 juta.
Ia menyaksikan syarikat memeterai perjanjian 'turnkey' dengan Danau Lumayan Sdn. Bhd. bagi melaksanakan, antara lain, perancangan, reka bentuk dan pembinaan projek tersebut di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Menurut kumpulan itu, projek tersebut terbahagi kepada dua fasa iaitu dengan Fasa 1 terdiri daripada 922 unit rumah setinggi 43 tingkat termasuk pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta, taska, dewan serbaguna dan pondok pengawal.
Bagi Fasa 2 pula, ia merangkumi 2,516 unit rumah bagi Blok A dan B setinggi 52 tingkat beserta pelbagai kemudahan.
"Kedua-dua fasa projek ini dijangka siap dalam tempoh 36 bulan bermula daripada tarikh perjanjian ini ditandatangani (13 Februari 2023)," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Residensi Wilayah yang dahulunya dikenali sebagai RUMAWIP merupakan satu program perumahan mampu milik yang menyediakan kediaman lebih selesa, berkualiti dan mampu dimiliki kepada warga Wilayah Persekutuan.
Pesona Metro berkata, perjanjian tersebut tidak akan memberi sebarang impak kepada modal saham dan struktur pemegangan kumpulan.
"Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan meningkatkan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh projek," tambahnya. - DagangNews.com








