KUALA LUMPUR 10 Julai - Peserta Malaysia, RMATES membawa pulang hadiah wang tunai AS$5,000 (RM23,350) apabila dinobat sebagai johan bagi sektor swasta dalam pertandingan Anti-Money Laundering/Counter Financing of Terrorism (AML/CFT) Hackhaton 2023 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM).
Selain itu, Verfier dari Australia dan KoderX dari Singapura masing-masing menjohani sektor awam dan kategori terbuka, turut menerima hadiah wang tunai AS$5,000.
Menurut satu kenyataan media hari ini, BNM berkata ketiga-tiga johan turut berpeluang membentangkan prototaip mereka kepada ketua-ketua delegasi Unit Perisikan Kewangan di mesyuarat Financial Intelligence Consultative Group (FICG) yang akan diadakan pada bulan ini.
BNM berkata RMATES telah membangunkan prototaip OmniQuest untuk memerhati corak dan anomali daripada jejak digital peranti mudah alih bagi mengesan aktiviti mencurigakan, seperti transaksi yang dibuat pada masa dan lokasi yang luar dari kebiasaan, dalam masa nyata.
Sementara itu, Verifier telah membangunkan Verifier FIX, iaitu platform yang membolehkan bank-bank berkongsi maklumat berkaitan tahap risiko jenayah kewangan dalam kalangan pelanggan dan pada masa yang sama memelihara privasi.
KoderX pula telah membangunkan prototaip dinamakan SentinelGuard, di mana ia berfungsi untuk mengurangkan serangan perisian hasad (malware) serta penyamaran identiti menerusi penyelarasan komunikasi antara bank dan pengguna dengan memanfaatkan platform mekanisme penyulitan keseluruhan (end-to-end encryption).
Bagi naib johan, kumpulan CBI India, The Interns (Malaysia) dan H7N Brazil masing-masing merangkul kategori sektor awam, sektor swasta dan kategori terbuka, membawa pulang hadiah wang tunai AS$3,000 (RM14,010).
Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh TrackAML (Indonesia), Currypuff (Malaysia) dan MATA (Malaysia) masing-masing dalam kategori sektor awam, sektor swasta dan kategori terbuka, membawa pulang hadiah wang tunai AS$2,000 (RM9,340).
AML/CFT Hackathon telah dilancarkan pada bulan April 2023 dan menarik penyertaan lebih 660 peserta dari 140 pasukan, mewakili lebih 20 negara di rantau Asia-Pasifik.
Hakim pertandingan ini terdiri daripada pakar industri dari Malaysia, Australia, Indonesia, New Zealand dan Amerika Syarikat.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Marzunisham Omar berkata prototaip yang dibangunkan oleh pemenang menunjukkan kemampuan untuk mengatasi jenayah kewangan dengan rumusan yang inovatif.
“Tugas penting seterusnya adalah untuk menukar prototaip ini kepada alat digital yang sebenar. Saya menyeru institusi kewangan dan badan pengawal selia serta agensi penguatkuasaan undang-undang untuk menerokasemua alat digital ini agar kita dapat memerangi jenayah kewangan bersama-sama dengan berkesan,” tambah beliau. - DagangNews.com








