Pesara TUDM tawar paten penyandar sejadah mini kepada pelabur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pesara TUDM tawar paten penyandar sejadah mini kepada pelabur

Rusli Zakaria menunjukkan paten penyandar sejadah mini yang dihasilkan olehnya sendiri
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KLANG 11 Jan - Seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menawarkan paten penyandar sejadah mini hasil ciptaannya kepada mana-mana pelabur yang berminat untuk memasarkan hasil inovasi itu.

 

Rusli Zakaria, 53, berkata, inovasi tersebut masih dalam proses kelulusan pengiktirafan hak milik daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

 

Beliau berkata, mana-mana pelabur yang berminat boleh membeli paten itu atau membayar royalti hasil jualan kepadanya.

 

Jelasnya, pada masa ini beliau sendiri tidak bercadang untuk memasarkan inovasi tersebut secara, kerana tidak mahir mengenai selok-belok perniagaan dan pemasaran.

 

"Saya juga akan membantu mereka (pembeli) dengan menjadi penasihat untuk penambahbaikan paten penyandar sejadah mini.

 

"Mengenai harga pula, kita boleh berbincang. Yang penting, inovasi ini tidak terdapat di mana-mana mahupun luar negara," katanya kepada DagangNews.com ketika ditemui hari ini.

 

Rusli yang juga bekas juruterbang TUDM berkata, beliau mengambil masa setahun untuk menghasilkan prototaip sejadah itu.

 

"Idea menghasilkan sejadah ini berlaku pada 2020 selepas saya mengalami sakit belakang yang menyebabkan saya tidak boleh duduk lama ketika solat. 

 

 

sejadah

 

 

sejadah

 

 

"Apabila bersandar di dinding masjid semasa aktiviti kuliah atau menunggu waktu solat, masih tidak dapat menyelesaikan masalah ini, jadi saya mendapat idea untuk mencipta sejadah ini," katanya.

 

Katanya, antara kelebihan sejadah ini adalah memberi keselesaan daripada segi aspek kebersihan, bau, pencegahan COVID-19, jangkitan selsema dan lain-lain.

 

"Selain itu ia berfungsi memberi keselesaan ketika duduk dan mengelakkan kesejukan di atas marmar. Ia juga sebagai alat bantuan untuk bangun apabila selesai solat atau kuliah," katanya.

 

 

sejadah
Rusli Zakaria turut menghasilkan reka bentuk untuk hiasan pentas

 

 

Penyandar sejadah ini juga sesuai untuk kelas pembelajaran duduk seperti tahfiz, mengaji al-Quran dan ceramah di masjid atau surau.

 

Setakat ini, beliau telah menghasilkan lebih 100 inovasi, antaranya teknologi pertanian, kelengkapan dapur dan sebagainya. - DagangNews.com