KUALA LUMPUR 25 Feb – Hektar Asset Management Sdn. Bhd., selaku pengurus Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) merekodkan perolehan sebanyak RM96.6 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY2021), susut 13.1% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Perbelanjaan Operasi Hartanah berkurangan sebanyak RM8.59 juta atau penjimatan 14.8% berbanding tahun sebelumnya. Pendapatan Bersih Hartanah (NPI) adalah sebanyak RM47.02 juta, susut 11.2% berbanding 2020.
FY2021 merupakan tahun mencabar bagi sektor peruncitan disebabkan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan beberapa Perintah Kawalan Pergerakan, Pelan Pemulihan Negara, sekatan perjalanan dan penutupan perniagaan tidak penting untuk tempoh yang panjang.
Di sebalik cabaran tersebut kepada pusat-pusat beli-belah, REIT mampu menarik penyewa baharu dan mengekalkan yang sedia ada meliputi 39.2% Kawasan Sewaan Bersih (NLA) Hektar REIT pada FY2021.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 (4Q 2021), Hektar REIT mencatat perolehan sebanyak RM24.98 juta, iaitu 16.2% lebih rendah berbanding suku serupa tahun sebelumnya.
Perbelanjaan Operasi Hartanah menurun sebanyak RM4.86 juta atau penjimatan sebanyak 27.9% berbanding suku tahunan sama pada tahun sebelumnya.
Hektar REIT mencatat pendapatan bersih hartanah sebanyak RM12.38 juta bagi suku di bawah kajian, yang merupakan kenaikan sedikit sebanyak 0.2% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, manakaka pendapatan direalisasi bagi 4Q 2021 adalah 185.5% lebih tinggi iaitu RM3.21 juta berbanding RM1.12 juta yang dicatat pada 4Q 2020.
Pengurus menyatakan bahawa terdapat petanda pemulihan disokong oleh pembukaan perlahan-lahan ekonomi dan ia juga boleh dilihat pada peningkatan dari segi bilangan pelawat sejak larangan dilonggarkan oleh kerajaan.
Sementara itu, Hektar REIT maklum bahawa trajektori kemajuan pertumbuhan didorong oleh pemulihan pasaran buruh, sokongan polisi berterusan dan perluasan dari segi permintaan luaran, selain kemungkinan pembukaan sempadan antarabangsa seawal suku kedua, REIT bagaimanapun mengekalkan kewaspadaan berikutan gelombang baharu jangkitan Omircon.
Agihan Pendapatan
Seperti diumumkan awal dulu, Hektar REIT mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak RM11.9 juta bagi 4Q 2021, bersamaan 2.53 sen seunit atau hasil DPU sebanyak 4.96%, iaitu 181% lebih tinggi berbanding agihan pendapatan bagi tempoh sama pada 2020.
Pandemik COVID-19 telah menjejaskan industri peruncitan dengan teruk dan REIT juga tidak terkecuali.
Namun, kumpulan kekal komited untuk memacu portfolio kami ke arah pemulihan tahun ini, dengan harapan tiada berlaku kejadiaan tidak dijangka di sebalik Kebimbangan Varian (VOC) yang boleh menganggu keseluruhan pemulihan sektor runcit dan ekonomi.
Penempatan Persendirian
Dalam suku tahunan yang dikaji, saiz dana Hektar REIT bertambah kepada 471,260,178 unit daripada 461,960,178 unit berikutan proses penempatan persendirian yang diumumkan pada 15 November 2021.
Sejumlah 9.30 juta unit daripada keseluruhan cadangan penempatan persendirian sebanyak 23.098 juta telah dilaksanakan di dalam dua peringkat pada Disember 2021, menjana RM4.23 juta.
Penempatan persendirian itu secara keseluruhannya membantu operasi harian Hektar REIT dengan memberikan lebih fleksibiliti dari segi aliran tunai pengurusan.
Hektar REIT kekal komited untuk memenuhi tanggungjawabnya di dalam memastikan semua aktiviti perniagaan dilakukan mengikut standard tinggi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). – DagangNews.com








