KUALA LUMPUR 16 Jan - Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) melancarkan kalendar rasmi Pernama 2024 yang bertemakan sejarah entiti tersebut sepanjang penubuhannya 40 tahun lalu.
Ia memaparkan gabungan foto-foto menarik melibatkan aktiviti Pernama bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Paparan tersebut menepati dengan tema kalendar Pernama pada tahun ini iaitu ‘40 Tahun Pernama Bersama ATM’.
Penerbitan kalendar ini juga sebahagian daripada aktiviti tahunan Pernama sejak diadakan 20 tahun lalu.

Pernama merupakan sebuah perbadanan milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang ditubuhkan dalam tahun 1983.
Penubuhan Pernama untuk memberi khidmat kepada warga dan veteran ATM melalui rangkaian kedai peruncitan seluruh negara dengan penyediaan barangan pada harga berpatutan.
Ini sekali gus memberi manfaat dan menjaga aspek kebajikan anggota serta veteran ATM.
Terdahulu, majlis penyerahan rasmi kalendar tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Pernama, Jen (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal kepada Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman

Simbolik pelancaran ialah peletakan kad puzzle untuk melengkapkan kalendar oleh Abdul Aziz dan Mohamad bersama panglima ketiga-tiga cabang perkhidmatan.
Pada majlis sama, Abdul Aziz turut menyampaikan sumbangan RM150,000 kepada Panglima Angkatan Tentera untuk dimasukkan ke dalam Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).
Ia bagi membiayai aktiviti-aktiviti kebajikan warga ATM.
Selain itu, Pernama juga menyumbang RM 50,000 kepada Yayasan LTAT untuk Program Kecemerlangan Akademik Anak-anak ATM. - DagangNews.com








