KUALA LUMPUR 3 Sept - Kenanga Research kekal optimis sektor pembuatan akan mendapatkan semula momentum menjelang akhir tahun ini di sebalik Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan menunjukkan pemulihan yang tidak konsisten pada pertengahan suku ketiga 2024 (3Q24) .
Firma penyelidikan itu berkata, ini terutamanya didorong oleh kitaran menaik sektor teknologi yang didorong oleh permintaan lebih tinggi untuk kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai langkah rangsangan di China.
"Namun, risiko penurunan masih wujud, terutamanya dari faktor luaran seperti ketegangan perdagangan AS-China yang kembali meningkat, krisis Timur Tengah yang semakin meruncing, dan perang Rusia-Ukraine yang berlarutan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, kata Kenanga Research, PMI Pengilangan yang kekal 49.7 Ogos 2024 menunjukkan bacaan itu di bawah tahap neutral untuk bulan ketiga berturut-turut.
Katanya, walaupun mengalami sedikit penguncupan, bacaan ini menunjukkan keadaan pengilangan yang stabil kerana ia hampir dengan tahap neutral 50.0.
"Prestasi bulan ini banyak dipengaruhi oleh penurunan yang berterusan dalam output dan pesanan baru. Pengeluaran menurun untuk bulan ketiga berturut-turut disebabkan oleh permintaan yang lemah.
ARTIKEL BERKAITAN: Pembuatan mampu pulih 2H24 walaupun PMI Julai 2024 bawah 50 mata - Kenanga Research
"Pesanan baru merosot sedikit untuk bulan kedua berturut-turut tetapi sebahagiannya diatasi oleh permintaan luar yang lebih baik. Ini menyebabkan pengeluaran lebih rendah dalam tempoh empat bulan.
"Selain itu, stok barang siap dikurangkan kerana syarikat melaporkan penggunaan stok sedia ada untuk memenuhi pesanan," jelasnya.
Walaupun terdapat ketidakpastian mengenai prospek ekonomi global, Kenanga Research mengekalkan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2024 sebanyak 5.0%.
Menurut firma tersebut, ini berikutan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan pada separuh pertama 2024 (1H24).
"Ini disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, didorong oleh peningkatan pelancong asing dan perbelanjaan mereka serta pasaran buruh domestik yang stabil.
"Ini disokong oleh realisasi pelaburan yang diluluskan dan sokongan dasar kerajaan yang berterusan," ujarnya. - DagangNews.com








