Penyertaan percuma kepada 60 syarikat di KLIABC Digital 2020 | DagangNews Skip to main content

Penyertaan percuma kepada 60 syarikat di KLIABC Digital 2020

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menawarkan penyertaan percuma kepada 60 syarikat di negara ini untuk menyertai Konvensyen Perniagaan Aeroangkasa Antarabangsa Kuala Lumpur 2020 (KLIABC Digital 2020).

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, tawaran tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk membantu syarikat-syarikat Malaysia menempatkan diri dalam rantaian bekalan global.

"KLIABC Digital 2020 dijangka akan terus meningkatkan penyertaan komuniti aeroangkasa meskipun tanpa penganjuran secara fizikal.

"Untuk itu, MATRADE akan menawarkan penyertaan secara percuma kepada 60 syarikat Malaysia yang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu syarikat di negara ini memperluas penembusan pasaran dan menjamin kedudukan yang kukuh dalam rantaian bekalan global," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Persidangan tersebut dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia dan Advance Business Events (ABE) Perancis.

KLIABC Digital 2020 akan dijalankan secara digital atau dalam talian bermula 17 hingga 20 November 2020.

Keadah digital itu memberi peluang kepada peserta untuk menyertai sesi penstriman langsung atau mengakses kandungan daripada pakar.

Tambah Wan Latiff, peserta juga berpeluang untuk menyaksikan sesi pembentangan persidangan, perbincangan secara interaktif,soal jawab dan undian pantas yang turut disiarkan secara langsung.

"Persidangan itu akan dilengkapi dengan ruang pameran maya dan mesyuarat perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) yang turut disertakan dengan sesi rangkaian sepadan bagi memudahkan interaksi perniagaan antara peserta, prospek dan pelanggan.

"Penggiat industri ini boleh membuat akses daripada komputer dengan bebas dan memberi peluang kepada semua peserta untuk berbincang atau berinteraksi dengan lebih efektif bersama rakan niaga di seluruh dunia," tambahnya. - DagangNews.com