KUALA LUMPUR 28 Feb - Harga purata jualan (ASP) bahan mentah yang tinggi ditambah dengan kadar pertukaran mata wang yang tidak menggalakkan boleh menjejaskan margin kos operasi Nestle Malaysia Berhad (Nestle Malaysia) pada tahun kewangan 2024 (FY24).
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, sehubungan itu, pengurusan kos yang berhemat masih diperlukan dalam usaha untuk menangani jangkaan peningkatan kos operasi.
"Memasuki FY24, permintaan produk dan momentum jualan Nestle Malaysia dijangka kekal kukuh tetapi pengurusan kos berhemat masih berkait dengan usaha menangani pergerakan buruk dalam kos operasi, terutamanya daripada ASP bahan mentah dan kadar pertukaran mata wang Ringgit Malaysia (RM)kepada dolar Amerika Syarikat (AS)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma penyelidikan itu turut mengunjurkan pendapatan Nestle Malaysia kekal positif pada FY24 (+4%) kerana makanan kekal sebagai bahagian teras belanjawan isi rumah pengguna.
Maybank Investment mengekalkan saranan 'Pegang' dengan harga sasaran (TP) baharu RM126.30 sesaham daripada RM119 sesaham.
Dalam pengumuman prestasi kewangan FY23 semalam, Nestle Malaysia memaklumkan Kumpulan itu mencatatkan peningkatan 5.8% dalam perolehan tahun penuh kepada RM7.05 bilion, berasaskan jualan domestik yang kukuh.
Untung bersih FY23 Nestle Malaysia turut meningkat kepada RM659.9 juta, disokong pertumbuhan jualan, kecekapan dalaman dan cukai lebih rendah ekoran ketiadaan Cukai Makmur.
ARTIKEL BERKAITAN: Nestlé Malaysia lantik bekas CEO Petronas Wan Zulkiflee sebagai pengerusi, isytihar dividen RM1.28 FY2023

Sementara itu, MIDF Research dalam nota kajiannya membangkitkan potensi peralihan pilihan pengguna Malaysia terhadap jenama tempatan yang lain atau alternatif yang lebih murah.
"Walau bagaimanapun, kami menjangkakan Nestle terus meneraju pasaran terutamanya disebabkan oleh penguasaannya dalam kategori produk tertentu, jenama yang terkenal dan harga produk yang kompetitif.
"Kami juga menjangkakan bahawa harga bahan mentah utama (seperti gula, susu dan gandum) lebih stabil dan ini akan membantu mengimbangi kos koko, biji kopi Arabica dan Robusta yang semakin meningkat. Oleh itu, kami mengekalkan saranan 'Neutral' terhadap Nestle," jelasnya.
MIDF Research menggariskan tiga risiko yang boleh menjejaskan Nestle termasuk soal kadar pertukaran RM kepada dolar AS.
Turut disenarikan risiko kenaikan mendadak harga komoditi; kos tenaga yang lebih tinggi daripada jangkaan dan permintaan pengguna yang lebih lemah daripada jangkaan disebabkan oleh tekanan makro serta perubahan dalam pilihan pengguna. - DagangNews.com








