KUALA LUMPUR 12 Julai - Penurunan harga minyak sawit mentah secara mendadak sejak akhir-akhir ini dilihat sudah berlebihan, walaupun keputusan Indonesia memutuskan untuk memansuhkan inventori minyak sawit mungkin akan menekan harga komoditi tersebut dalam tempoh terdekat.
Ini kerana menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, prospek bekalan minyak sayur-sayuran utama masih kekal tidak menentu dan terdapat beberapa pemangkin permintaan yang positif.
Secara dasarnya, kata firma itu, ketidaktentuan dalam pemulihan output bagi minyak sayur-sayuran utama turut dipengaruhi ketibaan pekerja asing dan harga baja yang lebih tinggi, yang akan mengheret pemulihan output bagi minyak sawit.
"Selain itu, terdapat kemungkinan La Nina juga akan melanda (buat tahun ketiga berturut-turut) dan kawasan tanaman kacang soya yang lebih rendah daripada jangkaan di Amerika Syarikat (AS).
"Malah, stok simpanan minyak sawit mentah di Indonesia mungkin kembali normal menjelang akhir Julai (bergantung kepada kadar penghantaran)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dari segi permintaan, HLIB berkata, walaupun harga minyak sawit yang tinggi sebelum ini telah mengakibatkan permintaan musnah (dengan pengurangan permintaan eksport daripada negara pengimport utama), terdapat beberapa faktor yang mengukuhkan permintaan minyak sawit, justeru, memberikan sokongan kepada harga (terutama apabila simpanan minyak sawit di Indonesia kembali normal).
Antaranya, termasuklah pengurangan secara meluas berbanding minyak kacang soya (pada RM400 satu tan metrik buat masa ini) dan paras inventori minyak sayur-sayuran yang rendah dalam kalangan negara pengimport utama.
"Di samping itu, sebaran yang lebih luas bagi minyak sawit-gas (POGO) juga akan menyokong permintaan minyak sawit, jika sebaran itu berkekalan dalam tempoh jangka masa panjang," tambahnya.
Dengan mengambil kira faktor-faktor berkenaan, HLIB mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perladangan terutamanya disokong pemulihan harga minyak sawit mentah.
Firma itu meletakkan saham Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) dan IOI Corp. Bhd. sebagai pilihan utama bagi sektor tersebut dengan saranan 'beli' pada harga sasaran masing-masing RM26.54 dan RM4.36 sesaham.
Bagaimanapun, selepas semakan semula hasil dan penilaian asas tahun 2023 hingga 2024, ia mengurangkan harga sasaran saham perladangan di bawah liputannya sebanyak 5.9 hingga 33.1%.
"Sejajar dengan semakan ini, kami menyemak turun penarafan FGV Holdings Bhd. dan Sime Darby Plantation Bhd. kepada 'pegang' berbanding 'beli' sebelum ini. Penarafan saham syarikat lain kekal tidak berubah," jelasnya.
Secara dasarnya, firma tersebut mengekalkan anggaran harga minyak sawit mentah bagi 2022 hingga 2023 dengan masing-masing pada RM5,500 dan RM4,500 satu tan metrik.
"Tetapi, kami mengurangkan anggaran pada 2024 kepada RM3,800 satu tan metrik daripada RM4,500 satu tan metrik, kerana kami menjangkakan prospek bekalan akan terus bertambah baik sehingga 2024 (yang seterusnya akan mengheret harga minyak sawit mentah lebih jauh).
"Susulan semakan ini, kami mengurangkan unjuran hasil bagi tahun kewangan 2024 terhadap syarikat perladangan di bawah liputan kami," katanya. - DagangNews.com








