KUALA LUMPUR 2 Ogos - RHB Investment Bank menjangkakan prospek kukuh Pentamaster Corp hd pada separuh kedua 2024 (2H2024) susulan segmen penyelesaian automasi kilang (FAS) terus menunjukkan peningkatan permintaan daripada industri peranti perubatan dan tenaga boleh baharu (RE).
Menurut firma itu, buku pesanan Pentamaster kekal pada RM400 juta, dengan permintaan yang lembap daripada segmen peralatan ujian automatik (ATE) memandangkan pemulihan pesanan dalam sektor automotif mengambil masa lebih lama daripada jangkaan.
"Walau bagaimanapun, dengan memanfaatkan teknologi Sistem Pengilangan Robotik Automatik Pintar (i-ARMS) yang dimilikinya, kumpulan telah melihat pertumbuhan pendapatan YoY dalam industri peranti perubatan disebabkan oleh penyelesaian automasi.
"Tambahan pula, terdapat momentum yang semakin meningkat dalam mengintegrasikan automasi dengan RE, khususnya dalam pembuatan solar.
"Kumpulan telah memperoleh pesanan dari sektor ini dan komited untuk menyokong pengembangan automasi dalam pasaran tenaga solar," katanya dalam nota penyelidikan.
RHB Inestment bekata, selain itu, Pentamaster telah mengenal pasti beberapa pendorong pertumbuhan untuk perniagaannya, termasuk pengembangan kecerdasan buatan (AI) dalam pusat data dan awan.
Katanya, ini menawarkan peluang besar untuk permintaan peralatan ujian kumpulan yang digunakan dalam pembungkusan semikonduktor yang maju.
"Keuntungan bersih teras Pentamaster bagi 1H24 sebanyak MYR40.3 juta (+20.3% YoY) memenuhi jangkaan, memandangkan jangkaan prestasi yang lebih baik pada suku-suku berikutnya daripada pertumbuhan berterusan segmen FAS.
"Kami terus menyukai Pentamaster kerana kehadirannya yang semakin berkembang dalam industri peranti perubatan, yang mengimbangi pemulihan automotif yang lebih perlahan daripada jangkaan dan mengurangkan sifat kitaran pasaran semikonduktor," jelasnya.
RHB Investment seterusnya mengekalkan saranan 'Beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.16 sesaham.- DagangNews.com








