Penjualan Menara Serba Dinamik di Shah Alam berharga RM38 juta kepada APB Resources selesai | DagangNews Skip to main content

Penjualan Menara Serba Dinamik di Shah Alam berharga RM38 juta kepada APB Resources selesai

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 5 April - Lembaga Pengarah Serba Dinamik Holdings Berhad yang dalam pembubaran memaklumkan, penjualan Menara Serba Dinamik di Seksyen 14, Shah Alam kepada APB Resources Bhd telah diselesaikan pada 4 April 2024.

 

Transaksi penjualan menara setinggi 16 tingkat itu diumumkan oleh Serba Dinamik dan APB dalam makluman berasingan di Bursa Malaysia hari ini.

 

Pada 12 Oktober tahun lalu, APB mengumumkan hasrat mengambil alih Menara Serba Dinamik bersama tanah pajakan berharga RM38 juta, tertakluk kepada kelulusan Mahkamah Tinggi.

 

"Pertimbangan pembelian RM38 juta itu diperoleh berdasarkan asas 'seadanya-di mana ada' selepas rundingan panjang lebar dan selepas mengambil kira nilai buku bersih dan nilai pasaran hartanah tersebut," kata syarikat itu dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia.


 

serba

 


APB yang juga berpangkalan di Shah Alam berkata, pengambilalihan itu akan membolehkan kumpulan itu menggunakan hartanah itu untuk tujuan sendiri dan menjana pendapatan dengan menyewakannya. - DagangNews.com