KUALA LUMPUR 16 Okt - Penjual dan pembeli dalam talian disaran agar sentiasa berwaspada terhadap penipuan e-dagang yang masih mencatat jumlah kes yang tinggi dan kerugian besar.
Memetik data daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (JSJK, PDRM), Mudah.my berkata sebanyak 7,911 kes dengan kerugian RM144.8 juta setakat 31 Ogos 2023 berbanding 9,258 kes dan kerugian RM140 juta pada 2022.
Data daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (JSJK, PDRM) ini turut mendedahkan bahawa terdapat 3,512 kes penipuan e-dagang pada 2019 dengan kerugian RM28 juta.
Di samping pengalaman memesan barang dalam talian yang amat mudah, tawaran hebat turut menjadi tarikan namun berisiko tinggi bagi mereka yang tidak berwaspada dan mendedahkan mereka kepada muslihat dan penipuan wang.
Sebagai pengguna Mudah.my sejak 2012, Ena Rahim berkata beliau terdedah kepada risiko penipuan apabila menerima panggilan daripada nombor telefon negara asing dengan kod yang tidak dikenali.

Ena menggunakan platform itu untuk mencari rumah baharu bagi kucing, dengan berkongsi imej dan video secara langsung dengan pihak yang berminat.
Beliau menerima panggilan tersebut yang meminta supaya kucing dihantar ke luar negara tetapi tidak menyediakan pembayaran untuk mengatur dan membayar kurier tempatan.
“Sejak itu, saya semakin sedar. Saya akan memeriksa nombor telefon dan bank akaun di laman web Semak Mule PDRM dan menyekat nombor asing.
“Sekarang, saya juga menyimpan semua chat saya pada aplikasi Mudah.my sebab ia lebih selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ena berkata inisiatif Mudah.my dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) cukup bagus dalam membantu mendidik orang ramai mengenai penipuan, dan sangat membantu untuk memiliki sumber seperti #MudahDanSelamat, di mana orang ramai boleh belajar kaedah memastikan diri mereka selamat daripada ditipu.
Malangnya, ramai berfikir perkara itu tidak akan terjadi kepada mereka dan tidak berhati-hati, memudahkan penipu untuk mengambil kesempatan ke atas mereka.
Pada masa yang sama, penipu kian berkemahiran tinggi untuk memanipulasi orang ramai. Perkara ini telah disaksikan dan dikesan berlaku berulang kali oleh pihak berkuasa serta platform e-dagang seperti Mudah.my.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mudah.my, Gaurav Bhasin berkata platform itu juga telah berevolusi sejajar dengan penipu yang makin canggih dan membangunkan lebih banyak alat dan fungsi bagi mengenal pasti dan menghalang penipu, dengan meningkatkan ciri-ciri keselamatan dan menubuhkan Pasukan Trust & Security khusus untuk memastikan keselamatan pengguna.

“Ini termasuk pelbagai ciri keselamatan yang menyeluruh, di mana kami telah berjaya menghalang iklan penipu daripada disiarkan sebanyak 92% dalam tempoh hanya tujuh bulan, mengurangkan chat spam penipuan daripada 15% kepada kurang daripada 1% dan mengurangkan laporan kegiatan penipuan daripada 300 kepada 50 sebulan,” ujar beliau.
Individu yang mengesyaki diri mereka telah menjadi mangsa scam boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di 997 (dari pukul 8 pagi hingga 8 malam) atau hotline (24/7) dan membuat laporan di mana-mana balai polis. - DagangNews.com








