KUALA LUMPUR 26 Jan - Peningkatan pendapatan dan seterusnya harga saham Petronas Chemicals Group Berhad adalah terbatas disebabkan kenaikan harga produk terhad berikutan prospek ekonomi global yang lembap, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu menyatakan perkara tersebut meskipun ia menyukai syarikat pengeluar bahan kimia bersepadu itu kerana terdapat tanda-tanda penurunan harga poliolefin yang disokong oleh harga minyak mentah.
Selain itu, firma tersebut berkata bahagian bahan kimia khusus kumpulan itu beransur pulih, manakala marginnya unggul berbanding syarikat pesaing memandangkan struktur kosnya menggalakkan.
Kenanga Research ‘neutral’ terhadap prospek Petronas Chemicals dan mengekalkan unjuran pendapatan memandangkan panduan harga produk yang dibentangkan oleh kumpulan itu sebahagian besarnya selaras dengan andaian firma.
“Petronas Chemicals menjangkakan harga polietilena (PE) lebih kukuh dalam separuh kedua tahun ini apabila permintaan untuk makanan dan pembungkusan bertambah baik.
“Keadaan lebihan bekalan diunjur agak mereda memandangkan loji PE yang lebih tua dan kurang cekap di China dihentikan.
“Tinjauan kumpulan menunjukkan bahawa harga PE untuk 2024 akan berjulat antara AS$1,000 hingga AS$1,100 setiap tan berbanding purata AS$1,012 setiap tan pada 2023,” ujar firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, Kenanga Research berkata harga urea diunjur stabil pada 2024 disebabkan kos bahan mentah stabil, manakala prospek pasaran metanol kekal lemah ditambah kapasiti dan permintaan yang lembap di China
Firma penyelidikan itu berkata, ramalan harga urea bagi 2024 adalah purata antara AS$350400 setiap tan berbanding purata AS$350 setiap tan pada 2023.
Bagi pasaran metanol pula, firma tersebut menjangkakan dasar penyahkarbonan China melembapkan pertumbuhan permintaan untuk metanol pada 2024, yang menyebabkan pengalihan semula kapasiti ke Asia Tenggara.
“Petronas Chemicals menjangkakan purata harga metanol akan berlegar sekitar AS$300 setiap tan pada 2024 berbanding purata AS$320 setiap tan pada 2023,” tambahnya.
Kenanga Research mengekalkan saranan ‘market perform’ dengan harga sasaran (TP) pada RM6.74 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY24 kekal sebanyak 15 kali, sejajar dengan penilaian syarikat pesaing di Asia, contohnya PTT Chem, LG Chem, Formosa, Lotte Chemical Titan.
Pada pukul 11:29 pagi ini, saham Petronas Chemicals susut 3 sen atau 0.4% kepada RM6.72 dengan permodalan pasarannya bernilai RM53.8 bilion. - DagangNews.com








