Peningkatan kos operasi dan hasil merosot, untung bersih Globaltec susut 57% kepada RM1.3 juta pada 1QFY24 | DagangNews Skip to main content

Peningkatan kos operasi dan hasil merosot, untung bersih Globaltec susut 57% kepada RM1.3 juta pada 1QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Nov - Untung bersih Globaltec Formation Berhad menyusut sebanyak 57% kepada RM1.3 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2023 (1QFY24) berbanding RM3 juta pada tahun sebelumnya.

 

Penyusutan itu berlaku kesan daripada kemerosotan hasil dalam segmen Mesin Ketepatan, Percetakan dan Alatan (PMST) selain peningkatan kos operasi dan keuntungan tukaran mata wang asing yang lebih rendah. 

 

Kumpulan itu berkata, keuntungan bersih segmen automotif meningkat manakala bagi segmen sumber, walaupun menanggung loji pembawa dihapus kira sebanyak RM400,000 dan penurunan kecil dalam hasil, kerugian bersih berkurangan daripada RM700,000 kepada RM200,000 disebabkan kerugian nilai saksama yang lebih rendah ke atas aset biologi.

 

"Hasil kumpulan itu menyusut sebnayak 5% kepada RM49.6 juta bagi suku semasa berbanding tahun sebelumnya disebabkan hasil yang lebih rendah yang diperoleh daripada segmen Perkhidmatan Pembuatan Bersepadunya akibat permintaan lemah.

 

"Ia berpunca daripada masalah makroekonomi, terutamanya kemerosotan kitaran pasaran semikonduktor dan juga lebihan stok oleh pelanggan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif kumpulan, Tan Sri Goh Tian Chuan berkata, persekitaran semasa yang mencabar dengan keadaan inflasi teras yang sukar dijangka, tekanan ekonomi, ketegangan dan konflik geo-politik, pihaknya akan terus berwaspada terhadap cabaran kos.

 

"Kumpulan akan memanfaatkan permintaan yang menggalakkan di Indonesia, operasi pembuatan berkembang dengan kemudahan ketiga yang dijangka siap menjelang akhir 2023.

 

"Kami juga berjaya melibatkan diri dalam perniagaan tenaga bersih dan ia merupakan satu lagi langkah yang lebih hampir kepada pengkomersilan CBM pertama di Indonesia.

 

"Kami akan melaksanakan Pelan Pembangunan pertama dengan berhati-hati dan secara berperingkat dengan objektif untuk menyampaikan jualan gas awal," katanya. - DagangNews.com