Penglibatan wanita Kelantan dalam bidang perniagaan jadi aspirasi semua | DagangNews Skip to main content

Penglibatan wanita Kelantan dalam bidang perniagaan jadi aspirasi semua

Oleh Sr Ts Dr Siti Hafsah bt Zulkarnain & Prof Dr Ritha F Dalimunthe

PENGLIBATAN wanita Kelantan dalam bidang perniagaan sudah tidak asing lagi pada masa kini di Malaysia.

 

Senario perniagaan kecil-kecilan yang dimulakan di rumah akhirnya menempa kejayaan yang cukup membanggakan kepada usahawan wanita yang lahir dari kalangan suri rumah.

 

Perniagaan biasanya dimulakan dengan minat memasak dan membuat kuih muih dan dijual kepada orang terdekat.

 

Perkembangan perniagaan mula menampakkan hasil apabila produk jualan mereka diterima baik dikalangan pelanggan dengan membuat tempahan dalam jumlah kuantiti yang agak banyak.

 

Bertitik tolak dari permintaan yang meningkat menjadikan usahawan ini melayari alam perniagaan dengan lebih serius dan mendapat dorongan dan restu keluarga terutamanya dari pihak suami.

 

Bagi melihat senario penglibatan wanita Kelantan dalam bidang perniagaan, kajian awal telah dilaksanakan oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi MARA dan Universitas Sumatera Utara (USU), Indonesia melalui geran penyelidikan World Class University (WCU) dengan tema pembentukan kluster keilmuan bagi usahawan wanita sebagai penyumbang kepada guna tenaga negara.

 

Seramai tiga orang usahawan wanita telah ditemubual pada peringkat awal kajian dan secara amnya mereka mempunyai pencapaian akademik hanya di peringkat SPM sahaja.

 

Berbekalkan minat, semangat dan sokongan keluarga akhirnya mereka berjaya menjalankan perniagaan sehingga kini. Antara usahawan wanita tersebut merupakan usahawan serunding, kuaci dan pemborong barangan runcit.

 

Perniagan RS Serunding yang diusahakan secara tradisional oleh Hjh Ramlah Salleh di Tumpat, Kelantan bermula dengan melihat sumber ikan sebagai bahan utama yang ada di Sungai Kelantan.

 

Usaha kecil-kecilan ini dimulakan dengan membuat serunding ikan, dan seterusnya dikembangkan kepada produk serunding daging dan ayam.

 

Serunding ini merupakan makanan yang sesuai dimakan begitu sahaja atau dimakan bersama pelbagai hidangan lain seperti ketupat palas, lemang dan boleh juga dijadikan sebagai inti karipap serta aneka kuih muih lain.

 

Produk serunding yang telah dibungkus boleh bertahan dalam tempoh yang agak lama dan sesuai untuk dijadikan sebagai buah tangan apabila berkunjung ke Kelantan dan menjadi pelengkap hidangan jika ke luar negara.

 

masmed

 

RP Berkat MART merupakan pemborong terbesar di Rantau Panjang yang menjual produk makanan dari Thailand dan diusahakan oleh  Nurlyana bersama suami.

 

Pada peringkat awalnya, beliau mula menerokai bidang pemborong runcit produk makanan dan kemudian perniagaan beliau dikembangkan lagi kepada restoran dan bilik penginapan kepada pengunjung tempatan dan luar negara.

 

masmed

 

Produk “Riraf kuaci rangup” juga tidak kalah hebatnya berbanding dengan usahawan wanita yang ada di negeri Che Siti Wan Kembang ini.

 

Memulakan perniagaan dengan modal sebanyak RM250 diperingkat awal menjadikan kini produk kuaci merupakan antara snek yang digemari ramai.

 

Produk dan perisa kuaci ini diilhamkan sendiri oleh Rafliza Abdul Rahim dan suaminya, Mohd Redhua. Semasa pandemik COVID-19 yang melanda tanahair, perniagaan yang diusahakan juga turut terjejas dan mengalami kerugian.

 

Namun kini mereka cuba bangkit semula dari kejatuhan yang lalu dan mengorak langkah bagi memastikan produk yang dihasilkan dapat terus berada dipasaran.

 

Perniagaan kuaci yang diusahakan ini telah mendapat tempat di hati pelanggan dan mereka berjaya mempunyai sebanyak 700 orang dropship di seluruh tanah air untuk memasarkan produk tersebut. 

 

  

masmed

 

Semoga dengan adanya penglibatan usahawan wanita dalam bidang perniagaan ini secara tidak langsung akan membantu merancakkan lagi ekonomi Malaysia setelah pandemik COVID-19 yang melanda negara.

 

Selain itu, keterlibatan wanita dalam bidang perniagaan juga perlu dijadikan inspirasi agar semangat juang dalam melayari bahtera perniagaan ini dapat diwariskan kepada generasi pelapis masa hadapan. – DagangNews.com

 

 

Sr Ts Dr Siti Hafsah bt Zulkarnain adalah Pensyarah Kanan Pengajian Harta Tanah Kolej Pengajian Alam Bina Universiti Teknologi MARA
Prof Dr Ritha F Dalimunthe adalah Ketua Program Studi Kewirausahaan Fakulti Ekonomi dan Bisnis Universitas Sumatera Utara, Indonesia