KUALA LUMPUR 15 Feb - Krisis Laut Merah menyebabkan pengimport Malaysia dalam industri kimia, jentera dan automotif menghadapi kelewatan rantaian bekalan yang menjejas proses dan jadual pengeluaran mereka, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Sementara itu, pengeksport Malaysia secara amnya berdepan kesan minimum dengan peningkatan sederhana pada kos pengangkutan.
Krisis tersebut telah menganggu laluan perkapalan global, yang memerlukan mod alternatif seperti pengangkutan udara, darat serta gabungan darat dan laut untuk mengurangkan kelewatan dan kos yang lebih tinggi.
Maybank IB berkata kesan keseluruhan terhadap Malaysia adalah minimum berbanding negara-negara Eropah, yang banyak bergantung kepada eksport Asia dan mereka perlu menanggung beban kos penghantaran yang lebih tinggi.
“Walaupun menghadapi cabaran dalam rantaian bekalan dan peningkatan kos pengangkutan, tinjauan perdagangan Malaysia kekal positif dan stabil.
“Pelabuhan Malaysia telah mengalami gangguan minimum, dengan kesan terhad ke atas laluan perdagangan ke Eropah dan Amerika Syarikat,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sejak 7 Januari 2024, 72% daripada semua perkhidmatan perkapalan Terusan Suez, termasuk penghantaran kontena, pukal kering dan kapal tangki, telah dialihkan ke Tanjung Harapan di Afrika Selatan kerana konflik Laut Merah.
Lencongan ini, terutamanya memberi kesan kepada laluan Timur Jauh ke Eropah, telah menggandakan masa pelayaran hampir dua kali ganda, menyebabkan kapasiti kapal kontena global berkurang 30%.
Selain itu, laluan perdagangan global telah terus terjejas oleh penurunan besar dalam transit Terusan Panama, dengan kapasiti transit telah jatuh kira-kira 50% kerana kemarau teruk di Amerika Tengah, memerlukan pengurangan bilangan kapal yang dibenarkan untuk melalui laluan itu setiap hari.
Maybank IB mengulas perkata tersebut susulan webinar dengan Pengerusi Persatuan Perkapalan Malaysia dan Pengarah Urusan MTT Shipping Ooi Lean Hin yang berpandangan bahawa gangguan itu secara umumnya positif untuk industri perkapalan.
Firma penyelidikan itu menambah bahawa kadar kontena global, terutamanya dari Timur ke Eropah, dijangka kekal tinggi, stabil pada paras semasa iaitu dua hingga empat kali ganda lebih tinggi daripada paras rendah pada November 2023.
Firma itu berkata, kenaikan kadar tersebut terutamanya disebabkan oleh masa pelayaran dan kos operasi berbanding kekangan kapasiti, menandakan keseimbangan yang saksama dalam kadar semasa.
Sementara itu, Maybank IB menjangkakan kadar bagi intra-Asia kekal stabil, berlegar sedikit di atas paras sebelum pandemik, manakala kadar domestik akan menghadapi gangguan yang minimum.
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ untuk MISC Berhad (TP: RM7.65) yang hanya terkesan sedikit daripada krisis Laut Merah memandangkan tumpuannya pada penyewaan jangka panjang.
Ia turut mengekalkan saranan ‘beli’ untuk Westports Holdings Berhad (TP: RM4.43) yang mengalami kelembapan trafik yang minimum pada separuh pertama Januari, dengan trafik menjadi stabil apabila syarikat perkapalan menyesuaikan diri dengan laluan lebih panjang. - DagangNews.com








