BERLIN 21 Dis — Penggunaan arang batu di seluruh dunia dijangka mencapai rekod baharu tahun ini di tengah-tengah permintaan tinggi yang berterusan untuk bahan api fosil yang sangat mencemarkan, kata Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).
Dalam laporan terbaharunya, agensi yang berpangkalan di Paris itu berkata walaupun penggunaan arang batu meningkat hanya 1.2% pada 2022, peningkatan itu mendorongnya ke paras tertinggi sepanjang masa iaitu lebih 8 bilion tan metrik, mengatasi rekod sebelumnya yang ditetapkan pada 2013.
“Penggunaan arang batu dunia akan kekal pada paras yang sama pada tahun-tahun berikutnya tanpa adanya usaha yang lebih kukuh untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih,” kata agensi itu, sambil menyatakan bahawa “permintaan yang teguh” dalam ekonomi sedang pesat membangun Asia akan mengimbangi penurunan penggunaan dalam pasaran matang .
"Ini bermakna arang batu akan terus menjadi sumber tunggal terbesar pelepasan karbon dioksida sistem tenaga global setakat ini," kata IAE.
Penggunaan arang batu dan bahan api fosil lain perlu dikurangkan secara drastik untuk mengehadkan pemanasan global pada 1.5 darjah Celsius (2.7 darjah Fahrenheit) abad ini.
Pakar berkata sasaran bercita-cita tinggi, yang dipersetujui kerajaan dalam perjanjian iklim Paris 2015, akan sukar dicapai memandangkan purata suhu di seluruh dunia telah meningkat sebanyak 1.2 darjah Celsius sejak zaman pra-industri.
IEA berkata harga yang lebih tinggi untuk gas asli akibat perang Rusia di Ukraine telah menyebabkan peningkatan pergantungan kepada arang batu untuk menjana kuasa.

"Dunia hampir mencapai kemuncak dalam penggunaan bahan api fosil, dengan arang batu akan menjadi yang pertama menurun, tetapi kami belum berada di sana lagi," kata Keisuke Sadamori, pengarah pasaran tenaga dan keselamatan agensi itu.
Penggunaan arang batu berkemungkinan berkurangan apabila negara menggunakan lebih banyak sumber tenaga boleh diperbaharui, katanya.
Tetapi China, pengguna arang batu terbesar di dunia, berkata baru-baru ini bahawa ia merancang untuk meningkatkan pengeluaran sehingga 2025 untuk mengelakkan kekurangan kuasa tahun lepas berulang.
Dan di Eropah, yang berebut-rebut untuk menggantikan bekalan tenaga Rusia berikutan pencerobohan Ukraine, beberapa negara telah membuka semula loji janakuasa arang batu yang ditutup.
Dalam usaha untuk mengekang penggunaan arang batu yang semakin meningkat dalam ekonomi sedang pesat membangun, Afrika Selatan, Indonesia dan Vietnam telah menandatangani perjanjian pelaburan dengan negara rakan kongsi kaya sepanjang tahun lalu yang akan membantu mereka meningkatkan usaha untuk beralih kepada sumber boleh diperbaharui seperti angin dan solar. - DagangNews.com








