Penggabungan Dialog, Airtel Lanka mempunyai kos, pemulihan keuntungan Axiata boleh tertangguh - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Penggabungan Dialog, Airtel Lanka mempunyai kos, pemulihan keuntungan Axiata boleh tertangguh - Maybank IB

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 April - Penggabungan Dialog Axiata dengan Airtel Lanka mempunyai kos penyepaduan yang perlu ditanggung sekali gus boleh menangguhkan pemulihan keuntungan bersih Kumpulan Axiata untuk beberapa tahun awal.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, bagaimanapun penggabungan Dialog dengan Airtel Lanka dilihat sebagai pembangunan pasaran yang sihat secara keseluruhan, sambil menjana sinergi jangka panjang.

 

"Kami terus melihat ganjaran risiko keseluruhan Axiata sebagai positif, dengan pemulihan keuntungan bersih dan pembaikan kunci kira-kira berpotensi menjadi pemangkin penarafan semula," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Axiata lapor kerugian RM1.99 bilion pada FY23 di sebalik peningkatan pendapatan 9.9%

 

Pada 18 April lalu, Axiata Group Bhd, Dialog Axiata PLC dan Bharti Airtel Ltd memeterai perjanjian muktamad bagi menggabungkan operasi di Sri Lanka, termasuk pengambilalihan keseluruhan saham-saham terbitan Bharti Airtel Lanka (Pte) Ltd.

 

Menerusi kenyataan bersama, pihak terbabit turut mengumumkan bahawa Dialog akan mengambil alih 100 peratus saham terbitan Airtel Lanka, anak syarikat milik penuh Bharti Airtel, dengan menerbitkan saham biasa sebanyak 10.355 peratus daripada jumlah saham terbitan kepada Bharti Airtel.

 

Sementara itu, menurut Maybank IB, urus niaga itu akan menyaksikan pengendali terbesar iaitu Dialog bergabung dengan yang terkecil, Airtel Lanka yang kini merugikan dengan tujuan mencapai skala ekonomi dan mengurangkan pertindihan infrastruktur.

 

Justeru, firma penyelidikan itu berpandangan urus niaga tersebut menyerupai Bangladesh, yang mana Robi Axiata dan Airtel Bangladesh telah meneroka dan menyelesaikan penggabungan pada 2015-16.

 

"Robi yang diperbesarkan mengalami kerugian selama beberapa tahun semasa fasa penyepaduan sebelum menikmati sinergi jangka panjang," jelasnya.

 

Kata Maybank IB, oengurusan Dialog akan menganjurkan panggilan petang ini yang mungkin akan memberikan lebih banyak pencerahan berhubung garis masa dan impak kewangan.

 

"Ramalan pendapatan kami dan harga sasaran (TP) RM3.50 untuk Axiata tidak berubah, dengan syarikat bersekutu CelcomDigi menjadi penyumbang terbesar kedua-dua pendapatan dan sum of parts (SOP)," ujarnya.

 

Sementara itu, Kenanga Research turut berpandangan positif terhadap Axiata Group Bhd selepas penggabungan Dialog Axiata PLC dengan Airtel Lanka melalui pertukaran saham.

 

Walau bagaimanapun, firma itu mengekalkan pendirian neutral terhadap Axiata kerana kesan pengambilalihan yang agak kecil.

 

Pengumuman itu sejajar dengan jangkaan kerana Axiata sebelum ini telah memeterai perjanjian yang mengikat untuk penggabungan pada Mei 2023.

 

Kenanga Research kekal neutral kerana kekurangan maklumat terperinci dan Dialog mewakili hanya 4.0 peratus daripada penilaiannya.- DagangNews.com