Penggabungan BPlant-KLK maksimumkan nilai LTAT | DagangNews Skip to main content

Penggabungan BPlant-KLK maksimumkan nilai LTAT

Oleh Mohamad Iman

MENGAITKAN penjualan Boustead Plantation (BPlant) kepada Kuala Lumpur Kepong (KLK) dengan pelupusan aset Bumiputera disifatkan tidak lebih daripada sekadar cubaan mempolitikkan urus niaga korporat dengan “gaya politik purba kala”, menurut penganalisis industri.

 

“Pasca pandemik menyaksikan bukan sahaja Malaysia, tetapi seluruh dunia bergelut dengan kelembapan ekonomi. Satu kaedah yang ada di atas meja ialah penggabungan dan pengambilalihan (M&A),” kata Wan Mohd Farid Wan Zakaria.

 

“Penggabungan ini membabitkan dua syarikat terkemuka dalam bidang sawit. Tentu sekali akan berlaku penyatuan kepakaran operasi, selain kapasiti kewangan yang boleh menambah baik prestasi BPlant,’’ katanya yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

 

Daripada segi aset pelaburan, kata beliau, penggabungan tersebut memberikan dimensi kepelbagaian aset pelaburan bagi memastikan dana kekal dinamik, berdaya saing dan mampan bagi kepentingan pencarum yang dalam konteks ini adalah Angkatan Tentera Malaysia dan Veteran.

 

“Ini adalah soal ekonomi. Bukan kaum sini terlepas, kaum sana mendapat. Ini zaman pasca-COVID. Hujah sedemikian sudah lapuk, purba kala.

 

“Ambil sedikit masa untuk meneliti butiran transaksi, maka kita akan lebih berilmu dan tahu bahawa dalam kedudukan Boustead sekarang ini, penggabungan ini adalah perlu dan munasabah,’’ kata Wan Mohd Farid.

 

Menurut Wan Mohd Farid, cadangan KLK mengambil alih pegangan ekuiti di dalam BPlant bukannya berbentuk jualan lelong.

 

“ Memetik laporan Maybank IB, firma itu mengatakan dari segi nisbah pendapatan-harga (PER), harga tawaran BPlant nampaknya `adalah mahal’ dengan PER 66 kali ke hadapan (teras),” kata beliau.


 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria
              Wan Mohd Farid Wan Zakaria

 


Di dalam industri sawit, BPlant diketahui memiliki bank tanah terbesar di negara ini, malah penggabungan itu akan meningkatkan bank tanah mereka sehingga kira-kira 189,070 hektar.

 

Ia merangkumi kawasan matang baharu seluas 159,070 hektar dan belum matang seluas 30,070 hektar.

 

“Ini akan membantu meningkatkan penghasilan minyak sawit mentah (MSM) lebih 800,000 tan dan meningkatkan keuntungan kumpulan dan nilai pemegang saham pada masa hadapan,” kata beliau.

 

Dalam nota penyelidikan terbaharu, MIDF Research berkata, dengan kawasan penanaman seluas 72,207 hektar, Boustead Plantations ialah penanam tulen tempatan yang mengusahakan 42 ladang kelapa sawit dan 10 kilang di semenanjung dan Malaysia Timur.


 

bplant

 


Daripada jumlah kawasan penanaman, 60,851 hektar (84.3%) terdiri daripada kawasan matang, manakala 11,356 hektar (15.7%) terdiri daripada kawasan belum matang, dengan purata wajaran profil umur kira-kira 16.4 tahun.

 

"Sejumlah 32.3% ditanam di Semenanjung; baki 53.5% dan 14.2% telah ditanam di Sabah dan Sarawak.

 

"BPlant mempunyai 10 kilang kelapa sawit dengan tiga kilang terletak di semenanjung manakala lima di Sabah dan dua di Sarawak," katanya.

 

Maybank Investment Bank pula menjangkakan KLK dapat mengintegrasikan dan memulihkan aset Boustead Plantations Berhad yang berprestasi rendah dalam tempoh lima tahun akan datang.


 

KLK

 


Adakah kolaborasi strategik ini perlu dilakukan sekarang?

Kolaborasi strategik ini perlu dilaksanakan secepat mungkin untuk memaksimumkan nilai untuk LTAT supaya kedudukan kewangan LTAT kekal kukuh.

 

Selaku pemilik penuh Boustead Holdings Berhad (BHB), LTAT perlu melihat kepada gambaran yang lebih besar, untuk terus mencipta nilai dan mengembalikan BHB kepada kedudukan yang lebih baik dan mampu menyumbang secara mampan kepada LTAT dan pencarumnya iaitu warga ATM dan veteran. - DagangNews.com